Penduduk flat kos rendah Setiawangsa beri sokongan kepada BN


The Malaysian Insight

BARISAN Nasional (BN) masih dihati penduduk PPR Semarak yang mengatakan mereka hanya kenal wakil rakyat parti pemerintah itu.

Pesaing lain dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) termasuklah daripada Pakatan Harapan, kata mereka, dianggap “orang luar”.

BN memegang kerusi kawasan itu sejak 23 tahun lepas tetapi kemenangannya pada PRU2013 hanyalah bermajoriti 1,390 undi dalam pertandingan satu lawan satu, seterusnya menjadikan ia kerusi marginal.

Kali ini, bekas wakil rakyat yang dikenali ramai Zulhasnan Rafique bertanding menentang PH Nik Nazmi Nik Ahmad dan calon PAS.

“Semua orang beritahu saya yang Zulhasnan Rafique buat kerja baik ketika berkuasa, dia kenal kami, apa orang luar boleh beri kepada kami?” kata R.Sarah kepada Malaysia Decides selepas ceramah BN di kawasan itu malam tadi yang dihadiri hampir 200 orang.

Sarah, 27, yang bekerja sebagai pembantu makmal berkata dia akan mengundi calon terbaik yang terbukti prestasinya.

“Jadi sekarang kami mahu yang terbaik, dan undi saya untuk yang terbaik.

“Dan satu perkara yang kuat dalam komuniti di sini adalah perpaduan pelbagai kaum, calon perlu ingat itu,” katanya yang sudah tinggal di situ lebih 10 tahun.

Seorang lagi penduduk, Abdul Rauf Abdullah berkata orang luar yang mahu bertanding di kawasan itu tidak ikhlas.

“Orang luar yang datang ke sini, apa mereka tahu? Mereka ada di sini bukan untuk bangunkan kawasan ini, mereka di sini untuk kerusi (menang).

“BN berkhidmat dengan baik kepada kami dengan jaga kebajikan kami sejak 1990-an,” katanya.

Rauf berkata penduduk di situ mahukan lebih banyak pembangunan dan aktiviti yang menggalakkan perpaduan kaum.

“Perlu ada lebih banyak majlis di sini, dan beritahu kami majlis itu diadakan, supaya kami boleh luangkan masa terlibat dalam majlis atau program.”

Rauf berkata ceramah malam ini menyebabkan dia bersemangat mahu mengundi BN kali ini.

Ditanya mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menjadi isu pengundi seluruh negara, bapa tiga anak itu berkata kebanyakan orang “sudah biasa”.

“GST ada di mana-mana, bukan hanya Setiawangsa. Saya rasa semua sama sahaja.

“Hanya bila ada GST kita perlu bayar lebih sikit, tetapi kita akhirnya akan biasa”.

Tetapi, seorang lagi penduduk Siti Juwita Mohd berkata Zulhasnan tidak menjadi wakil rakyat mereka pada penggal lepas dan dia tertanya-tanya sekiranya Zulhasnan sekarang masih faham kebimbangan terbaru penduduk.

“Dia habiskan masa lima lepas di Amerika jadi duta, jadi maklumat kawasan ini yang dia ada mungkin lama.

“Jadi bila dia bertanding lagi di sini kami harap dia akan tambah baik apa yang Ahmad Fauzi Zahari buat dalam pembangunan,” katanya merujuk kepada penyandang kerusi itu.

Juwita yang berusia 44 tahun dan sudah tinggal di situ selama 11 tahun berkata masyarakat PPR Semarak menghargai kesejahteraan kaum dan pembangunan infrastruktur. – 6 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen