MANIFESTO Pakatan Harapan (PH) untuk Sarawak adalah hasil rundingan sukar antara parti pembangkang negeri yang tidak sabar mahu mengurangkan pemusatan kuasa persekutuan.
Banyak kali meja dihentak dan jari dituding, kata Ketua PH Sarawak Chong Chieng Jen yang mengumumkan manifesto negeri itu awal minggu ini.
Antara yang menjadi tumpuan rundingan adalah janji 20% royalty minyak kepada negeri berbanding 5% sekarang diamalkan kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN), mengembalikan separuh cukai dikutip di Sarawak kepada negeri dan autonomi perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.
Pendidikan dan kesihatan disenaraikan di bawah Perkara Persekutuan dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang ditandatangani Sarawak dengan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Singapura untuk membentuk Malaysia.
Tetapi PH mahu pendidikan di Sarawak lebih bebas daripada dasar dan arahan berpusat. Salah satu kebimbangan adalah bagi membolehkan lebih banyak sejarah Sarawak dimasukkan dalam sukatan mata pelajaran.
Chong berkata jawatankuasa merangka manifesto berdepan kesukaran kerana seorang wakil Bersatu yang merupakan bekas ahli Umno.
“Dia enggan mengalah dan menjangkakan semuanya akan berjalan ikut cara dia dan Semenanjung,” kata Chong yang bertanding di kerusi Parlimen Stampin.
Jawatankuasa juga bergelut dengan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad yang pada mulanya tidak bersetuju memberikan lebih banyak autonomi kepada Sarawak kerana beliau berpegang teguh kepada prinsip pemusatan kuasa persekutuan.
“Kami beritahu dia depan-depan yang pemusatan kuasa menyebabkan salah guna kuasa. Beliau akhirnya bersetuju dengan dasar pengagihan kuasa selepas banyak kali kami berhujah,” kata Chong lagi.
Beberapa bulan diambil untuk semua wakil bersetuju tentang manifesto negeri yang akhirnya berjaya dimeterai tidak lama sebelum hari penamaan calon pada Sabtu, katanya.
Kunci utama persetujuan dicapai untuk autonomi lebih besar adalah Sarawak boleh membiayai pelaksanaan janji-janji ini dengan peningkatan royalti minyak serta kutipan cukai yang dipulangkan kepada negeri.
Buat masa sekarang, Sarawak hanya mengamalkan hak autonomi terpilih yang ia ada mengikut MA63 seperti kawalan imigresen, penggunaan Bahasa Inggeris di Dewan Undangan Negeri dan urusan rasmi kerajaan negeri.
Sejak kebelakangan tahun lalu, ketidakpuasan hati rakyat negeri mula meningkat sehingga memaksa kerajaan Najib Razak berjanji yang BN akan berunding semula tentang hak-hak lain.
Bagi PH, tidak wujud keperluan rundingan hak kerana semuanya sudah jelas termaktub.
Chong yang mengumumkan manifesto Selasa lalu berkata, janji autonomi lebih besar dan peningkatan kutipan royalti dan cukai “sudah berlaku” dan tidak akan ada rundingan lanjut sekiranya PH berjaya merampas Putrajaya. – 6 Mei, 2018.
Komen