DALAM satu majlis yang kurang meriah di flat kos rendah Seri Semarak malam ini, Zulhasnan Rafique, yang meletak jawatan sebagai duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) bagi bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), menggesa pengundi di situ supaya memilih Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei ini.
“Saya nak minta bantuan tuan-tuan sekali lagi, pilih BN. Kita (BN) dah berkhidmat untuk masyarakat di sini sejak 1995. Saya rasa rakyat dah lupa hampir semua benda (yang diminta), dengan kemudahan terbaru iaitu dewan serbaguna dan tempat letak kereta bertingkat,” kata Zulhasnan.
Tambah beliau, hanya satu perkara yang belum selesai iaitu masalah hak milik strata di flat, yang hanya beliau ketahui tidak lama dahulu.
“Kita akan melihat perkara ini kerana sama seperti kita tangani masalah lain sebelum ini,” katanya.
Veteran politik berusia 64 tahun itu sudah lebih 25 tahun tinggal di Setiawangsa dan merupakan calon bagi kerusi parlimen itu pada PRU14 ini.
Zulhasnan turut bercakap mengenai “hubungan” yang kian erat yang terjalin antara beliau dan penduduk flat.
Pada majlis yang dihadiri oleh kira-kira 200 penduduk flat dan penyokong BN, Zulhasnan juga menyebut mengenai manifesto beliau yang menumpu kepada empat perkara utama - infrastruktur, keselamatan, kesihatan dan kebajikan sosial.
Beliau meluangkan masa selama 40 minit dengan memberi ucapan dan bertemu penduduk selepas itu.
Zulhasnan yang tiba bersama rombongan pengiring, turut membawa isteri dan cucu.
Beliau juga menyampaikan beras dan beberapa barang lain kepada hadirin.
Tiada wartawan yang dapat mendekati beliau bagi menanyakan beberapa soalan, kerana dihadang oleh beberapa lelaki berpakaian seragam biru BN.
Berdasarkan pemerhatian Malaysia Decides, suasana pada majlis itu tidaklah semeriah seperti majlis anjuran Pakatan Harapan.
Setiawangsa merupakan kubu kuat BN dan pengundi di kawasan itu telah mengundi parti pemerintah itu sejak 1995 lagi.
Zulhasnan kali pertama dilantik sebagai Ahli Parlimen Wangsa Maju pada 1999 apabila menewaskan Marina Mohd Yusff dari PKR dengan majoriti 5,618 undi.
Kemudian, beliau bertanding dan sekali menang di kerusi parlimen Setiawangsa pada 2004 dan 2008.
Selepas lima tahun menyepi dari dunia politik, Zulhasnan diminta untuk mempertahankan kerusi Setiawangsa untuk BN pada PRU14.
Kerusi itu akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru di mana Zulhasnan akan bertanding melawan Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan calon PAS ‘Ubaid Abdul Akla. – 5 Mei, 2018.
Komen