Muhyiddin kata anak semua bangsa tunggu masa singkirkan BN


The Malaysian Insight

PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH), dalam satu ceramah di Batu Pahat malam tadi, menyeru seluruh rakyat bersatu hati tanpa mengira kaum untuk menamatkan pemerintahan Barisan Nasional di negara ini.

Dalam membuat seruan itu, presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjelaskan bagaimana susahnya parti-parti yang bergabung dalam PH itu mahu membentuk kerjasama yang ada sekarang.

“(Liew) Chin Tong pernah kritik saya. Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu, Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim semua ada isu dengan Dr Mahathir Mohamad,” katanya, menyebut satu persatu nama pemimpin parti komponen dalam PH.

“Tetapi kami sedar bahawa kita perlu melupakan masa lalu untuk berjuang demi masa depan. Saya dan Chin Tong sekarang kawan,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Liew dari DAP ialah calon PH di Ayer Hitam yang berusaha untuk menyingkirkan penyandangnya dari BN, timbalan presiden MCA, Wee Ka Siong.

“10 Mei nanti ialah harinya Najib masuk dalam, Anwar keluar. Itu sebabnya tuan-tuan mesti memastikan keluar mengundi pada 9 Mei ini,” kata Liew yang juga pengerusi DAP Johor itu.

Muhyiddin menambah anak semua bangsa di Malaysia sekarang ini nampak lebih bersatu mahu mengubah kerajaan.

“Orang Melayu sekarang marah. Mereka tahu mereka kena buat sesuatu atau nasib mereka tidak akan berubah. Jadi dengan 90 peratus sokongan daripada orang Cina, 70 peratus daripada orang India dan 60 peratus orang Melayu, kita akan akan Putrajaya.

“Kita semua saudara, sahabat dan rakyat Malaysia, dan bersama-sama kita boleh bersatu untuk mengalahkan BN,” kata Muhyiddin. – 5 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen