Tamatkan kuasa Ku Nan ke atas tanah awam, kata Hannah Yeoh


The Malaysian Insight

DI hadapan para pengundi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) malam ini, bekas speaker Selangor, Hannah Yeoh berjanji akan memastikan menteri Wilayah Persekutuan sementara Tengku Adnan Tengku Mansor disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menceritakan peristiwa di mana penduduk TTDI menyaman Dewan Badaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkaitan projek pembangunan kondominium di Taman Rimba Kiara, Yeoh berkata Tengku Adnan telah membenarkan penjualan tanah awam serta taman riadah kepada pemaju dibawah penyamaran penyediaan perumahan awam.

“DBKL harus bertanggungjawab terhadap penduduk Kuala Lumpur. Kepimpinan di bawah menteri Wilayah Persekutuan (sementara) Tengku Adnan Tengku Mansor telah menyaksikan 60 lot tanah dijual Kuala Lumpur, hanya separuh yang digunakan untuk perumahan awam,” kata Yeoh. Hadirin meneriak ‘boo’ ketika nama Tengku Adnan disebut.

Yeoh berkata, beliau “rasa loya” bila membaca dokumen pemindahan hak milik tanah Taman Rimba Kiara kepada Yayasan Wilayah Persekutuan, yang mana tengku Adnan adalah pengerusinya. Penjualan tanah itu kemudiannya dilakukan oleh yayasan kepada pemaju swasta dengan keuntungan RM100 juta.

“Pemerintahan Tengku Adnan mesti ditamatkan. Kita perlu tamatkan dengan mengambil laih Putrajaya. Saya mahu SPRM siasat rekod Tengku Adnan dalam penjualan tanah di Kuala Lumpur.”

Beliau berkata perumahan awam yang dijanjikan kepada penduduk rumah panjang TTDI boleh dibina dengan lebih murah daripada meletakkan mereka di bawah projek pemaju swasta untuk membina lapan blok pangsapuri mewah di Taman Rimba Kiara.

Yeoh turut berjanji, di bawah kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan penduduk Kuala Lumpur akan dapat memilih datuk bandar dan ahli majlis tempatan.

“Penduduk Kuala Lumpur layak mendapat kertas undi kedua untuk memilih datuk bandar mereka. Satu-satunya cara ialah dengan meletakkan PH di Putrajaya.”

Beliau membuat satu lagi ikrar untuk memastikan Bukit Kiara diwartakan sebagai taman hijau, dan berkata keputusan itu telahpun diluluskan Kabinet pada 2007 tetapi tidak pernah dilaksanakan.

“Tanpa kerajaan baru, saya bimbang Bukit Kiara akan hilang. Ini janji saya, jika saya diberi mandat di Parlimen, saya akan berjuang supaya Bukit Kiara diwartakan,” katanya sambil menunjukkan rekod kerajaan negeri Selangor yang mewartakan 30% hutan di negeri itu.

Yeoh turut menyelar lawannya, Loga Bala Mohan, calon BN dari MyPPP.

“Loga bukan calon BN yang biasa-biasa. Beliau ialah timbalan menteri (sementara) Wilayah Persekutuan. Beliau di bawah Tengku Adnan. Beliau amat maklum apa yag terjadi di sini. 9 Mei nanti, pengundi akan tamatkan saga ini.” – 5 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen