Rafidah Aziz gembira dipecat dari Umno


The Malaysian Insight

RAFIDAH Aziz berkata beliau gembira dipecat dari Umno kerana beliau tidak mahu mempunyai sebarang kaitan dengan parti yang “dirundung” masalah.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata beliau mengalu-alukan keputusan Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor memecat beliau.

“Saya sangat gembira. Saya dah berapa tahun takjadi ahli aktif, atau hadiri mana-mana mesyuarat bahagian, jadi tak apalah,” kata Rafidah kepada wartawan selepas berucap di majlis Pakatan Harapan (PH) di TTDI malam ini.

Jelas bekas ahli majlis tertinggi Umno itu, beliau kini tidak mahu dikaitkan dengan parti yang rosak.

“Saya tak mahu ada kaitan dengan parti yang bergelumang dengan masalah, tidak mematuhi Perlembagaan Persekutuan  dan di mana budayanya sudah banyak berubah bertahun-tahun selepas saya tinggalkan,” kata beliau.

Terdahulu, Rafidah mengingatkan rakyat Malaysia yang pemerintah sekarang ini telah gagal dan keadaan perlu diubah untuk memperbaiki negara.

Beliau muncul pada malam ini bagi menyokong calonSegambut PH, Hannah Yeoh selepas muncul pada ceramah di Melaka semalam.

Tengku Adnan Rafidah dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dipecat dari Umno kerana menentang parti itu. – 5 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen