BEKAS pengerusi Bersih 2.0 dan peguam hak asasi manusia Ambiga Sreenevasan hari ini mengingatkan rakyat Malaysia supaya bersabar dalam menghadapi segala kesukaran semasa musim pilihan raya ini.
Di hadapan lebih 5,000 hadirin di Taman Tun Dr Ismail malam ini, Ambiga berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) cuba menipu semasa pilihan raya pada 2008 dan 2013, namun rakyat bangkit melawan.
“Kita menentang kuasa SPR. Kita pernah buat dulu, kita lakukannya pada 2013, meskipun banyak penipuan,” kata Ambiga.
“Pada 2008, Barisan Nasional (BN) hilang dua pertiga. Pada 2013, BN hilang undi popular. Pada 2018, kita akan pastikan BN hilang kuasa di Putrajaya. Itu misi kita,” katanya lagi, disambut dengan tepukan gemuruh dari hadirin.
Tambah beliau lagi, kerajaan semasa membawa negara ke ambang kejatuhan dan rakyat Malaysia perlu lakukan sesuatu mengenainya.
“Kita tak boleh biarkan lagi. Kita tiada pilihan. Mereka bukan hanya curi duit kita, mereka juga telah merompak masa depan kita.
“Mereka telah merompak maruah kita, kompas moral kita. Mereka tiada kompas moral. Mereka membawa kita ke arah ini,” kata Ambiga.
Bekas presiden Badan Peguam Malaysia itu memuji rakyat Malaysia atas kesabaran dan kekuatan mereka menghadapi kesukaran.
“Kita adalah negara yang diberkati. Hanya di Malaysia, rakyatnya boleh bertahan dengan rompakan seperti itu.
“Kita boleh hadapinya kerana kita mempunyai sumber dan orang-orang yang bijak yang tahu bagaimana membuat duit,” kata beliau.
Ambiga berada di ceramah mega bersama bekas menteri Umno, Rafidah Aziz bagi menyokong calon Segambut Pakatan Harapan, Hannah Yeoh. – 5 Mei, 2018.
Komen