PAKATAN Harapan (PH) hanya memerlukan tambahan 6.2% sokongan Melayu untuk memenangi 100 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia, kata peguam hak asasi Syahredzan Johan.
Syahredzan yang membantu kempen PH di Selangor juga menggesa penyokong pembangkang supaya ramai-ramai keluar mengundi pada 9 Mei ini dan mengajak rakan-rakan untuk melakukan perkara yang sama.
“Kita (PH) perlu lagi 6.2% untuk dapat 100 kerusi di Semenanjung Malaysia. Sedikit saja lagi, kita hampir melihat perubahan,” kata beliau di hadapan lebih 1,000 penyokong di Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya malam ini.
“Selepas kita bersorak, kita perlu bercakap dengan pengundi atas pagar. Kita mesti beritahu kawan-kawan kita, rakan sekerja untuk bawa perubahan ini. Kita hanya perlu 6.2% lagi. Ini perbezaan antara kerajaan baru dengan kontraktor lama.”
Syahredzan yang melatih ejen-ejen pilihan raya (Paca), menceritakan pengalaman beliau sebagai penyokong pembangkang yang pasif pada pilihan raya 2008, tetapi mengambil keputusan untuk terlibat secara aktif dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ini.
“Kali ini saya mencuba yang terbaik, selagi masih bernafas, selagi Allah izinkan, saya akan ber yang terbaik untuk membantu calon. Kerana mereka perlukan bantuan, ejen Paca dan bantuan (undang-undang) lain.
“Mengapa Maria Chin, Maszlee Malik, Wan Saiful Wan Jan sertai (PH)? Mengapa Rafidah Aziz muncul semula selepas pencen? Kerana Malaysia perlu bantuan segera. Kerana kita perlu tukar pengurusan.
“Kerana kita perlu bina smeula negara ini. Saya takut, kalau kita tak buat apa-apa, kerosakan yang dibuat oleh mereka yang berkuasa tidak boleh diperbaiki lagi. Kita mengundi pada 9 Mei bukan hanya untuk diri kita, tetapi untuk anak-anak kita, keluarga dan masa depan kita.
Beliau juga mengutuk mereka yang mengkritik calon Segambut PH, Hannah Yeoh yang beragama Kristian.
“Saya marah apabila saya dengar orang kata Hannah Yeoh ada agenda Kristian. Apa hak anda untuk menilai agama beliau? Apa yang penting, asalkan beliau berniat baik dan bermoral. Kenapa sibuk sangat dengan agama beliau?” – 5 Mei, 2018.
Komen