Rafidah beritahu pengundi jangan takut untuk berubah


The Malaysian Insight

RAFIDAH Aziz mahu rakyat Malaysia menilai apa yang Barisan Nasional (BN) telah lakukan di sepanjang lima tahu yang lepas.

BEKAS menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata Kerajaan gagal mentadbir negara dan rakyat harus menyokong kepada perubahan.

“Tanya diri anda, ‘Adakah mereka memperbaiki kehidupan saya? Adakah mereka menjadikan hidup anak-anak saya lebih senang?

“Kuasa di tangan anda. Pertama kali dalam sejarah, anda akan mengubah pentadbiran negara ini. Ini saat yang bersejarah. Jangan sambung lagi kontrak mereka,” kata Rafidah di hadapan 5,000 hadirin di ceramah di Taman Tun Dr Ismail bersama calon Segambut Pakatan Harapan (PH) Hannah Yeoh.

Beliau turut memberikan analogi mengenai bagaimana Kerajaan sepatutnya menjadi “kontraktor” yang bertanggungjawab ke atas Malaysia sebagai sebuah “rumah” namun gagal berbuat demikian.

“Malaysia ialah sebuah banglo besar. Kita semua ada tempat untuk tinggal. Sejak dua penggal, kontraktor tak jaga rumah kita.

“Semua tingkap dan pintu dah pecah. Semua lampu cantik dah dicuri. Rumah ini, rumah kita… syarikat yang kita bagi kontrak tak jalankan kerja mereka,” kata Rafidah, merujuk kepada Barisan Nasional (BN).

Rafidah turut memberitahu hadirin yang mereka  tidak perlu berasa malu untuk berubah kerana Malaysia adalah sebuah negara yang indah dan bertuah, cuma sayangnya kini ditadbir oleh kerajaan yang teruk.

“Ini negara yang diberkati. Saya sayang negara saya tetapi saya tak suka orang-orang yang mengurusnya. Saya bangga menjadi warganegara. Tetapi saya tak suka cara ia ditadbir sekarang ini,” kata Rafidah. 

“Jadi marilah kita berubah. Jangan takut.”

Selain Rafidah, bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin juga secara terbuka menyatakan sokongan kepada PH pada pilihan raya ini.

Kedua-dua mereka hari ini telah dipecat dari Umno. – 5 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen