BN hanya ada 14 kerusi selamat di Felda, kata laporan 


The Malaysian Insight

DI Felda Chempelak Barat, Hairi Edrawan mengeluh tentang harga minyak sawit yang merosot di bawah pentadbiran Najib Razak.

Semasa di bawah pentadbiran Abdullah Badawi dahulu, harganya di sekitar RM800 setan manakala harga sekarang sangkut pada RM400.

“Tapi bila saya beli baja dan racun perosak, saya kena bayar GST. Ini menambahkan kos,” kata Hairi, 69, yang mempunyai tujuh tanggungan dengan pendapatan bulanan RM3,000.

Bergantung kepada kualiti racun perosak dan baja yang digunakan, peneroka biasanya membelanjakan kira-kira RM5,000-RM7,000 setahun bagi kebun masing-masing.

Anaknya, Wahid, yang pernah bekerja di pejabat menteri besar antara 1992 dan 1997 berkata situasi politik sekarang ini boleh berubah kerana ramai generasi kedua mempunyai akses kepada maklumat.

“Tak macam kebanyakan peneroka generasi pertama yang tak tahu membaca, kami ada Facebook dan WhatsApp,” tambah Wahid, sebelum ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Ayah kepada seorang anak lelaki itu berkata sokongan untuk pembangkang di felda mereka yang terletak di kawasan Tenang/Labis itu kini 50-50.

Undi Felda

Kertas kajian yang dikeluarkan oleh ISEAS - Ishak Yusof Institute - pada bulan lepas menyatakan bahawa bank undi Barisan Nasional (BN) iaitu 1.2 juta pengundi jatuh ketara hampir tiga perempat daripada 317 tanah rancangan Felda di Semenanjung Malaysia sejak 2004.

Daripada 52 kerusi parlimen yang mempunyai tanah rancangan Felda, hanya 14 kerusi boleh diambil kira sebagai stabil atau sedikit di bawah paras stabil. 12 daripada 14 kerusi tersebut terdiri daripada 85% pengundi Melayu, manakala dua lagi 65%.

Di antara 14 kerusi stabil itu, Pekan mencatat penurunan terendah iaitu daripada 78% (2004) kepada 76.6% (2013), manakala Mersing mencatat penurunan terbesar iaitu daripada 80.5% (2004) kepada 71.5% (2013).

Menurut kertas kajian terbitan penyelidik ISEAS, Geoffrey Kevin Pakiam itu, peralihan sokongan terhadap BN merosot mendadak antara 2004 dan 2013 dalam 17 daripada 40 kerusi Felda, dengan 14 daripadanya merupakan kawasan campuran.

Tebrau mencatat penurunan terbesar, daripada 84.1% (2004) kepada 51.1% (2013). Kawasan lain yang mengalami penurunan mendadak ialah Ledang (76.9% - 51.7%), Cameron Highlands (72.1% - 45.9%), Simpang Renggam (79.7% - 58.4%), Alor Gajah (80.2% - 60.8%) dan Tampin yang mempunyai sembilan rancangan Felda (80.4% - 61.7%).

Jelas Pakiam, penurunan itu berkait rapat dengan komposisi etnik bagi kerusi-kerusi tersebut, namun masih sukar untuk meramalkan undi Felda selepas PAS keluar dari blok pembangkang utama.

Adakah PAS menjadi faktor?

Di Felda Sri Ledang, Rizal Bujang, 37, hampir terlepas ceramah Muhyiddin Yassin selepas lama ‘tersangkut’ di majlis kenduri yang diadakan di rumahnya sehari sebelum itu.

“Saya nak dengar ceramah beliau,” kata Rizal, yang kini menetap di Kota Tinggi.

“Tapi saya lega tengok ramai yang datang ke ceramah Muhyiddin malam ni. Ini menunjukkan semakin ramai peneroka bersedia untuk beri peluang kepada pembangkang,” kata setiausaha cawangan Umno itu.

Rizal juga merungut tak banyak aktiviti pembangkang di Kota Tinggi.

Seorang lagi generasi kedua peneroka, Ahmad Arbi, 45, berkata beliau yakin dengan suasana muhibah yang Muhyiddin telah wujudkan di sini, bekas timbalan perdana menteri itu akan peroleh kemenangan.

“Ini pertama kali pembangkang adakan ceramah di sini,” tambah Ahmad.

“Ramai di sini yang masih kecewa beliau dipecat kerana mempersoalkan perdana menteri (sementara) Najib Razak.”

Walaupun Ahmad mengundi PAS dan BN pada pilihanraya sebelum-sebelum ini, beliau berkata parti Islam itu tidak akan memberi impak di Felda Sri Ledang.

“Kami tak nampak pun mereka di sini walaupun ini dah musim pilihan raya dan mereka dah letakkan calon,” katanya.

Selain bendera PAS yang tidak banyak ditemui di sepanjang Jalan Panchor, tidak ada juga poster calon PAS, Ahmad Nawfal Mahfodz. Yang ada hanya poster calon DUN Bukit Kepong BN, Mohd Noor Taib dan Muhyiddin.

Jika poster dijadikan sebagai petunjuk, PAS adalah ‘non factor’ di tanah-tanah rancangan Felda dan pertarungan masih lagi di antara BN dan Pakatan Harapan. – 6 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen