Penduduk Sarawak tidak setuju sertai Malaysia, kata ahli akademik


Desmond Davidson

SEORANG profesor sejarah dari Amerika yang berada di Sarawak pada 1965 menyelidik sejarah negeri untuk tesis kedoktorannya berkata penduduk tempatan secara amnya menentang menyertai persekutuan Malaysia.

Profesor Emeritus Sejarah Craig Lockard, yang mengajar kursus sejarah Asia, Afrika dan dunia selama 35 tahun di Universiti Wisconsin-Green Bay, mengimbas kembali perbualannya dengan beberapa orang asli Iban di sebuah kedai kopi Sibu yang berkata mereka berpendapat Malaysia adalah satu perkara buruk.

“Mereka menentangnya. SUPP sekian lama menentangnya,” katanya merujuk kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak, yang kini menjadi komponen pakatan Gabungan Parti Sarawak yang memerintah negeri itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan semasa program bual bicara dalam talian.

Program, “Kuching, Yesterday & Today: Observation on a changing state”, dianjurkan oleh Sarawak Initiative - kumpulan masyarakat sivil yang percaya dalam “meletakkan asas yang betul bagi masyarakat Sarawak yang progresif dan moden”.

Beliau berkata penduduk di Kuching berasa perkara yang sama.

Lockard berkata apabila beliau kembali ke Kuching pada 1970 untuk meluangkan masa setahun melakukan lebih banyak penyelidikan, “penduduk masih mengatakan ia adalah satu kesilapan besar”.

Pengacara program ialah James Chin dari Universiti Tasmania yang dilahirkan di Kuching.

Diminta untuk menerangkan bagaimana suasana ketika diumumkan Singapura menarik diri daripada persekutuan, Lockard berkata rakyat Sarawak “sangat tidak gembira”.

“Saya fikir (ia kerana) Sarawak melihat Singapura sebagai pengimbang dan sekutu menentang Malaya (cubaan menguasai).

“Ramai orang berpendapat demikian. Mereka berasa dikhianati.”

Singapura menarik diri daripada persekutuan pada 9 Ogos 1965 untuk menjadi sebuah negara merdeka.

Beliau juga berkata pada masa itu, hubungan ekonomi Sarawak lebih kepada Singapura berbanding dengan Malaya.

Lockard berkata walaupun selepas 60 tahun, beliau rakyat Sarawak masih terkesan mengenai tindakan Singapura.

Menjawab soalan lain, Lockard berkata jika terpulang kepadanya, Sarawak dan Sabah lebih baik sebagai negeri merdeka.

Beliau berkata mereka kemudian boleh mempertimbangkan untuk mengadakan “satu konfederasi bebas” dengan Singapura dan Malaya.

Bagi Sarawak untuk kekal di bawah pemerintahan Brooke atau tanah jajahan Britain bukanlah satu pilihan, tambahnya. – 2 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen