Tak ada guna kekal dalam Umno pun, kata Daim ulas pemecatannya


The Malaysian Insight

HANYA mereka yang hendak bunuh diri dan jahanam saja akan kekal dalam Umno, kata bekas menteri kewangan Daim Zainuddin pada sesi dialog di Parit Yusuf, Johor hari ini.

Daim, yang dipecat daripada Umno bersama bekas menteri Rafidah Aziz yang juga rakan setugasnya dalam Kabinet dulu, susulan tindakan mereka menyokong gabungan pembangkang, merasakan semua berlaku itu ada hikmah di sebaliknya.

“Hari ini saya dengar Rafidah Aziz dan saya dipecat. Syukur Alhamdulillah. Sudah jelas, kami tidak boleh bersama mereka. Kami perlu berada di pihak yang benar dan ikhlas dan akan berjuang untuk rakyat dan masa depan negara,” kata Daim di hadapan kira-kira 100 orang dalam sesi itu.

“Jika kita pilih jalan yang betul, semua orang akan sokong kita. Jika mereka mahu bawa kita ke arah kehancuran, kita tidak boleh sokong. Sebab itu ramai yang keluar parti atau pusingan U mereka kata. Kami tidak boleh bunuh diri (bersama mereka).

“Mereka (Umno) mahu kami terjun sungai dengan mereka tetapi siapa yang ada otak akan ‘u-turn’,” katanya, yang juga pernah menjadi ahli perniagaan Melayu terkemuka pada 1980-an.

Walaupun usianya 80 tahun dan bertongkat, ahli politik veteran itu jelas masih belum hilang sentuhan dalam politik akar umbi.

Daripada duduk jauh daripada khalayak, Daim bangun dan mengalih kerusi plastik ke depan sekumpulan kecil khalayak yang berkumpul untuk mendengar beliau bercakap.

“Jika kita hendak undi rakyat, kita perlu datang kepada pengundi dan duduk bersama mereka,” katanya bergurau.

Walaupun meninggalkan politik pada 2001, Daim kelihatan berseronok dan sering ketawa dengan khalayak.

“Shahrizat (Abdul Jalil) kata Rafidah dan saya cemburu dengan kejayaan Najib (Razak). Kejayaan apa? Satu-satunya kejayaan dia di dunia ialah kita ini negara pencuri,” kata Daim.

“Kejayaan BN ialah hanya menghilangkan duit kita, KLCC dan semua benda.”

Beliau berkata walaupun namanya Daim atau “Diam”, beliau tidak mampu lagi berdiam diri ketika negara ini sedang dalam kesusahan.

Katanya, ulama tidak sepatutnya terbabit dalam politik.

“Kenapa hakim agama terbabit dalam politik. Mereka sepatutnya hanya membantu rakyat ke jalan yang betul bukan berada dalam politik.

“Ini perlawanan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. Jika saya kata BN tidak buat sesuatu perkara, adakah mereka akan panggil saya munafi?”

Malaysiakini melaporkan hakim syarie dilihat berkempen untuk menteri sementara di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom di Jerai.

Daim berulang kali meminta pengundi mengakhiri pemerintahan Umno dalam sesi 35 minit itu.

“Betul, memang ada GST di negara lain juga tetapi rakyat di sana tidak merungut kerana ada pendidikan, kesihatan percuma dan pelbagai bantuan lain. Cukai yang dikutip juga dikembalikan kepada rakyat.

“Tetapi kerajaan hari ini ambil duit kita dan lepas itu potong lagi bajet untuk kesihatan dan sebagainya.

“Jadi ini masanya untuk tolak BM. Mungkin lepas itu mereka akan belajar bagaimana menjaga rakyat dengan lebih baik,” katanya. – 5 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen