RIBUAN yang hadir di ceramah Pakatan Harapan (PH) di Melaka malam tadi tidak meakili sokongan kepada pakatan pembangkang itu, kata menteri besar sementara Johor Mohamed Khaled Nordin.
The Star Online melaporkan Khaled berkata lautan manusia pada ceramah itu tidak bermakna mereka akan mengundi PH dan menolak Barisan Nasional (BN).
“Memanglah ramai kerana semua calon kerusi DUN dan parlimen mereka termasuk pemimpin-pemimpin tertinggi berada pada majlis yang sama.
“Perhimpunan besar itu terdiri daripada penduduk dari kawasan mengundi yang berbeza. Ramai yang datang semalam tak bermakna Melaka akan jatuh (ke tangan pembangkang),” Khaled dipetik berkata.
Beliau juga berkata PH merancang untuk mengadakan perhimpunan yang sama di Johor dan beliau mengingatkan supaya pengundi perlu berwaspada.
“Mereka selalu kata mereka akan menang di sini dan di sana, tetapi selepas pilihan raya, mereka akan kata mereka gagal kerana kita (BN) menipu. Tolong jangan percaya mereka,” tambah beliau.
Ribuan penduduk negeri Melaka berkumpul di khemah sementara, bersetentang deretan rumah kedai dan jalan utama untuk mendengar ceramah yang memaparkan pemimpin-pemimpin utama PH dan bekas menteri Umno.
Bekas menteri Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz turut hadir dan secara terbuka menyatakan sokongan mereka kepada PH dalam pilihan raya kali ini.
Antara pemimpin PH yang hadir termasuk Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dsn Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Majoriti yang hadir adalah dari kawasan parlimen Hang Tuah Jaya yang dikenali sebagai Bukit Katil sebelum persempadanan semula.
Kerusi tersebut dijangka akan menjadi persaingan sengit antara penyandang dari PH Sahmsul Iskandar Md Akin dan bekas ketua menteri Melaka Mohd Ali Rustam, yang berhasrat kembali semula ke Parlimen. – 5 Mei, 2018.
Komen