PENYANDANG kerusi Parlimen Muar yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri sedia menyahut cabaran pencabarnya untuk berdebat pada malam esok di Hotel Traders Muar pada jam 8 malam.
Pengumuman itu dibuat di Parit Yusuf selepas sesi dialog bersama Syed Saddiq dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dengan penduduk setempat.
Ketua Pemuda Bersatu Syed Sadddiq dan Razali sebelum ini hanya perang mulut berhubung debat itu berikutan cabaran daripada bekas menteri itu pada Isnin. Menteri pertahanan yang juga penyandang kerusi Sembrong Hishammuddin Hussein menggelarkan Syed Saddiq “anak kucing” kerana usianya.
Syed merupakan salah seorang calon paling muda yang bertanding bagi kerusi Parlimen pada usia 25 tahun.
“Topik debat ini adalah mengenai Pakatan Harapan atau Barisan Nasional untuk Putrajaya,” kata Syed Saddiq kepada pemberita hari ini.
Katanya moderator bagaimanapun masih belum ditetapkan.
Pendebat terbaik Asia itu berkata, beliau sanggup berdebat dengan Razali selepas dicadangkan oleh presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Syed Saddiq turut mencabar calon PAS bagi kerusi Parlimen Muar, Abdul Aziz Taib yang masih belum memberi maklum balas kepada cabaran itu.
Pada Khamis, Razali menyahut cabaran Saddiq untuk berdebat dan berkata ia bukan satu masalah sekiranya memberi faedah kepada pengundi di Muar. – 5 Mei, 2018.
Komen