SEORANG aktivis alam sekitar yang lantang bersuara di Baram, Sarawak mempersoalkan janji yang tak pernah ditunai yang dibuat oleh calon Barisan Nasional (BN) untuk menyediakan infrastruktur asas iaitu jalan raya, paip air dan bekalan elektrik 24 jam di kawasan tersebut.
Salah satu alasan paling kerap diberi oleh calon BN Anyi Ngau dan wakil kerajaan yang memerintah sebab-sebab mengapa Baram mundur atau tidak berkembang ialah kawasan itu terlalu besar dan bentuk muka bumi Baram yang bergunung-ganang, kata Peter Kallang.
Kallang, yang mengetuai pembangkang bagi projek cadangan hidroelektrik, dalam suratnya berkata penduduk Baram sering diberitahu supaya bersabar dan menunggu kerana pembangunan yang dijanjikan pasti akan tiba.
Empangan itu yang akan menghasilkan 1,000MW tenaga elektrik dan menelan belanja RM4 bilion untuk dibina, akan menyebabkan 20,000 orang ditempatkan semula di 25 buah rumah panjang.
“Ahli politik akan sering guna alasan sama, Rome tidak dibina dalam masa sehari’”.
Kallang yang merupakan pengerusi bagi kumpulan pendesak, Save River, dan kempennya menyebabkan pembinaan mepangan dikenakan moratorium pada November 2015, berkata alasan ini berulang kali diberi selama bertahun-tahun lamanya oleh wakil rakyat BN apabila ditanya mengapa janji-janji kerajaan lambat dilaksanakan.
Tetapi mengapa cepat saja menebang hutan sehingga gondol dan mengekploitasi kekayaan semulajadi Baram, soal beliau.
Jumaat lalu, di kawasan pedalaman Long Nakan d Baram, Adun Telang Usan Dennis Ngau dari BN merayu penduduk di situ supaya terus menyokong parti itu dengan mengundi calon mereka, Anyi Ngau jika mahu pembangunan di situ diteruskan.
“Baram dipinggirkan, tetapi diingati apabila undi diperlukan.
“Apabila mereka tebang balak, semua halangan ditempuhi.”
Kallang turut mempersoalkan ke mana perginya kesemua jutaan demi jutaan hasil balak yang dikaut melalui penebangan hutan yang berlaku selama bertahun-tahun sehingga hutan primer hampir pupus.
“Siapa yang dapat untung dari aktiviti pembalakan?”
Sudah tentu bukan penduduk Baram, kata Kallang, dan beliau merayu kepada 35,685 pengundi di sini supaya “menggantikan orang yang meminggirkan mereka semenjak merdeka”.
Anyi menang kerusi Baram hanya dengan lebihan 194 undi melalui pertembungan tiga penjuru menentang Roland Enggan dari PKR dan Patrick Sibat (Bebas) pada PRU13.
PRU14 ini akan menjadi pertembungan satu lawan satu antara Anyi dan Enggan. – 5 Mei, 2018.
Komen