Belia perlu undi untuk perubahan masa depan mereka, kata Nik Omar


The Malaysian Insight

CALON Amanah Nik Omar Nik Abdul Aziz yang menarik ramai pendengar menerusi ceramah kempennya, menggesa golongan muda agar mengundi untuk perubahan.

Beliau yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Chempaka di Kelantan berkata, perubahan menerusi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) tidak akan berlaku sekiranya pengundi muda, yang merupakan separuh daripada pengundi di negara ini pada pilihan raya kali ini tidak mahukan perubahan.

“Perubahan ini perlu terjadi dari dalam diri generasi muda itu sendiri. Mereka perlu ada niat untuk mengubah dari dalam diri mereka,” kata anak sulung kepada bekas pemimpin PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengejutkan banyak pihak selepas membuat keputusan untuk bertanding atas tiket Pakatan Harapan.

“Apabila kita ada niat untuk berubah, kita akan yakin dengan pilihan yang kita buat,” katanya memetik ayat dari al-Quran.

“Pilihan raya umum kali ini sangat penting kepada generasi muda. Yang lama seperti kami akan tinggalkan. Kita hanya boleh harap, berdoa dan tunjukan jalan generasi muda ke arah perubahan yang akan memberi kelebihan serta memenuhi aspirasi mereka,” katanya ketika bercakap di pusat operasi PH Pandan Indah semalam.

Katanya, PH merupakan pilihan terbaik kerana ia mempunyai rancangan untuk masa depan mereka dan mahukan peningkatan dalam pentadbiran negara dan kewangannya.

Pengundi berusia antara 21 dan 39 tahun menjadikan hampir separuh daripada 14 juta pengundi yang akan keluar mengundi pada Rabu. Pengundi muda Melayu sahaja berjumlah hampir 3.6 juta.

Nik Omar menjawab soalan ketika sesi cermah mengenai pendidikan dan berkata kerajaan PH akan memastikan ia menerima dana yang perlu untuk menjadikan pendidikan sebagai keutamaan kepada semua belia, Turut hadir pada program berkenaan calon PH Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Nik Omar menarik perharian ramai apabila mengadakan kempen ceramah di Lembah Klang sejak dua hari lalu. Segelintir pengundi Melayu Islam yang ditemui pada perhimpunan PH di Putrajaya baru-baru ini berkata mereka hadir untuk mendengar ceramah ilmuan Islam itu.

Dituduh mengkhianati bapanya, yang sangat dihormati dalam PAS, dan kepada parti, Nik Omar turut diketepikan ibunya, yang mengkritiknya kerana mengkhianati legasi Nik Aziz. Beliau berkempen untuk seorang lagi anaknya Nik Abduh, yang bertanding mewakili PAS di kerusi Parlimen Bachok.

Nik Omar sebaliknya secara langsng menjawab kritikan itu, memberi ceramah pendek pada perhimpunan di Putrajaya mengenai bagaimana Islam menerima kepelbagaian kaum, dengan mempercayai kerjasama politik bapanya dengan kumpulan etnik lain.

Nik Aziz sebelum ini menyokong kerjasama PAS dengan PKR dan DAP sebagai Pakatan Rakyat yang kini tidak berfungsi. Namun selepas kematiannya pada 2013, kerjasama itu runtuh, dengan PAS kini bertanding menentag bekas sekutunya pada PRU14. – 5 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen