INDIVIDU tidak bertanggungjawab bertindak memecahkan 18 cermin gerabak tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang membawa logo Barisan Nasional dan imej perdana menteri sementara Najib Razak.
Insiden itu, yang dipercayai berlaku pada Khamis, menjadi viral di media sosial apabila pengguna Twitter @malisAz mendakwa tren yang dipandu bapanya dibaling batu berulang kali sepanjang perjalanan dari Sentul ke Tampin.
Pengerusi KTM Nawawi Ahmad berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut sama ada logo BN atau imej Najib itu yang menjadi punca perbuatan vandalisme, namun memberitahu pemberita di Langkawi malam tadi pelaku akan dikenakan tindakan sewajarnya sekiranya tertangkap.
“Saya tidak pasti (sama ada ia) puncanya..dalam hidup ini, tidak semua orang suka (BN) dan tidak semua orang tidak suka, tetapi dalam kes ini, saya meminta masyarakat untuk berfikir dengan minda terbuka (dan) tidak bergantung kepada emosi untuk merosakkan harta kerajaan, dan cermin tingkap berkenaan sangat mahal,” katanya.
Mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), tindakan boleh diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab di bawah Seksyen 130 yang membawa hukuman denda hingga RM5,000 dan penjara hingga 20 tahun.
Nawawi juga merupakan calon BN bagi kerusi Parlimen Langkawi. Beliau akan berdepan bekas perdana menteri yang juga pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad dan calon PAS Zubir Ahmad. – 5 Mei, 2018.
Komen