Kelonggaran visa dijangka lonjak industri pelancongan, kata pemain industri


Angie Tan

Pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China ke Malaysia dijangka melonjak industri pelancongan dan perniagaan antara kedua-dua negara, kata pemain industri pelancongan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2023.

PENGECUALIAN visa selama 30 hari untuk rakyat China ke Malaysia dijangka melonjak industri pelancongan dan perniagaan antara kedua-dua negara, kata pemain industri pelancongan.

Naib Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Cooper Huang berkata mereka menjangkakan perjalanan ke China akan meningkat tahun depan.

Huang berkata sebelum pengumuman itu ramai rakyat Malaysia sudah merancang untuk melancong ke China.

Beliau berkata dasar pengecualian visa itu bukan sahaja akan menarik pelancong China ke Malaysia tetapi perniagaan yang berkembang di sini.

“Peniaga Cina juga boleh digalakkan oleh perjalanan tanpa masalah untuk mencari peluang perniagaan dan menjalinkan hubungan dengan rakan sejawatan mereka di Malaysia,” katanya.

Tambah Huang ia akan mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara China dan Malaysia.

Pada 24 November Kementerian Luar China mengumumkan dasar bebas visa sepihak untuk pemegang pasport dari Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Sepanyol dan Malaysia.

Dasar ini akan berkuat kuasa dari 1 Disember hingga 30 November tahun depan membenarkan rakyat dari negara ini memasuki China untuk perniagaan, pelancongan, lawatan keluarga atau transit sehingga 15 hari tanpa visa.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Ahad lepas mengumumkan kemasukan 30 hari tanpa visa ke Malaysia untuk pelawat dari China dan India mulai hari ini.

Bagaimanapun pengecualian itu masih tertakluk kepada tapisan keselamatan untuk rekod jenayah atau keganasan lampau, kata Anwar.

Presiden Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA) Angie Ng memuji kelonggaran visa itu dan berkata ia memberikan rangsangan kepada industri pelancongan selepas suram akibat Covid-19.

“Ia meningkatkan kemudahan dengan menghapuskan keperluan untuk visa,” katanya.

Seperti Huang, Ng berkata kelonggaran visa akan menarik ramai orang untuk tujuan perniagaan.

Mengenai peraturan berat sebelah di mana pelawat China mendapat 30 hari kelonggaran visa manakala rakyat Malaysia hanya mendapat 15 hari, Ng percaya 15 hari sudah cukup untuk rata-rata pelancong.

Ditanya sama ada rakyat Malaysia boleh memohon lanjutan masa untuk tinggal, Ng berkata masih terlalu awal untuk menyatakan kerana peraturan itu baru sahaja dilaksanakan dan kelemahan masih belum dilihat. – 1 Disember, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen