MALAYSIA mungkin sedang berdepan pilihan raya umum dengan pertarungan peribadi antara perdana menteri sementara Najib Razak dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, tetapi kedua-dua nama besar itu tidak ada di Sabah.
Sama ada sengaja atau wujudnya peraturan pilihan raya baharu, papan iklan besar Najib gesa pengundi untuk “Hebatkan Negaraku” yang biasanya ada di mana-mana saja, tetapi tidak ada di seluruh Sabah dan Labuan.
Gambar wajah Dr Mahathir sedang senyum juga tiada dan di negeri Borneo ini, beliau tidak dialu-alukan susulan pendedahan Projek IC yang memberikan kerakyatan kepada warga asing Islam bagi mengimbangi kuasa politik Kristian, iaitu majoriti masyarakat Kadazan Dusun Murut.
Masyarakat itu dilihat sebagai penentu keputusan dalam PRU14 kerana Umno Sabah yang dominan pada masa ini bersaing dengan Parti Warisan Sabah untuk merebut undi Bumiputera Muslim dan Melayu.
Kira-kira 20 daripada 60 kerusi DUN terletak di kawasan di mana mereka membentuk populasi besar, dan kempen di sini membabitkan keperluan mereka, agama dan ekonomi.
Tetapi masyarakat itu sukar membentuk kerajaan negerinya sendiri susulan jumlah parti yang mewakili perjuangan mereka.
Ketua mereka, Joseph Pairin Kitingan iaitu timbalan ketua menteri sementara berdepan dua adik beradiknya di kerusi DUN Tambunan.
Presiden Warisan Shafie Apdal, yang disingkirkan daripada Kabinet dan Umno tiga tahun lalu, penuh tenaga ke seluruh negeri meminta pengundi untuk “Sabah Ubah” dan mendapatkan autonomi daripada pusat.
Dari pangkalan kuasanya di pantai timur, Shafie kini berkempen di pantai barat meliputi Labuan pada malam tadi dan Kota Kinabalu hari ini.
Partinya percaya pakatan pembangkang mampu menang 35 daripada 60 kerusi dan membentuk kerajaan dengan Shafie sebagai ketua menteri.
Tetapi Warisan hanya bertanding di 45 kerusi DUN, dengan selebihnya ditandingi oleh sekutunya.
“Ia menjejaskan ketua menteri sementara Musa Aman dari Barisan Nasional dan 15 tahun pencapaiannya, dalam menentang gesaan Shafie untuk perubahan,” kata seorang penganalisis politik, berkata Musa sebagai penyandang jawatan mempunyai kelebihan walaupun Sabah diketahui pernah mengubah kerajaan pada masa dulu.
“Semuanya tentang isu tempatan dan persaingan di sini. Jadi Najib, Dr Mahathir atau 1MDB tidak begitu penting,” katanya merujuk kepada syarikat pelaburan negara yang sarat hutang itu. – 5 Mei, 2018.
Komen