PENASIHAT kerajaan bertaraf menteri Rais Yatim berkata beliau sudahpun bersedia menghadapi tindakan dipecat daripada parti susulan kritikan kerasnya terhadap pentadbiran perdana menteri sementara Najib Razak.
Katanya, beliau membuat kritikan selama ini kerana tidak dapat berkompromi dengan perkara yang melanggar prinsip keadilan dan undang-undang dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Di bawah pimpinan Najib, saya diasuh melanggar prinsip-prinsip perjuangan saya dengan ilmu-ilmu rasuah, menipu, menyamun, merompak dan mencuri.
“Ini salah dan saya tidak akan berkompromi dengan perkara perkara yang melanggar prinsip keadilan dan yang bertentangan dengan latar belakang saya selaku pengamal perundangan.
“Saya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, susulan pemecatannya daripada Umno.
Bekas menteri itu kini diasasat atas kritikan kerasnya ke atas parti. Dua lagi veteran Umno lagi, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan bekas menteri perdagangan antarabangsa Rafidah Aziz dipecat.
Pemecatan itu dibuat ketika BN menghadapi saingan sengit dari Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh genting kempen pilihan raya yang hanya berbaki tiga hari.
Rais mula dilantik sebagai menteri pada 1974 ketika pentadbiran negara dipimpin oleh bapa Najib, Allahyarham Razak Hussein. Beliau juga menyertai kabinet Dr Mahathir sebagai menteri.
Dalam kenyataannya, Rais turut berbangga dengan pentadbiran kedua-dua bekas perdana menteri itu yang menurutnya jauh berbeza dengan apa yang dialaminya bawah pentadbiran Najib.
“Saya diasuh di zaman Tun Razak supaya berusaha merapatkan hubungan dan memahami kesengsaraan rakyat.
“Di era Tun M saya dilatih untuk menjadi seorang pejuang yang amanah, berani dan berilmu tinggi,” katanya. – 5 Mei, 2018.
Komen