Zainuddin Maidin tak pernah lihat begitu ramai orang tolak BN


The Malaysian Insight

BEKAS menteri, Zainuddin Maidin tidak menolak jangkaan bahawa gandingan pemimpin veteran Umno, Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz akan dapat melonjakkan keyakinan pengundi kepada Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana rakyat dapat melihat bahawa melihat Daim dan Rafidah mempunyai rekod baik dan cemerlang berkhidmat sebagai menteri Kabinet semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menilai sama ada sokongan Daim dan Rafidah ke atas PH akan menyumbang kepada kemenangan gabungan parti pembangkang itu, kata bekas ahli Parlimen Umno itu lagi.

“Susah nak jangka (beri kemenangan) tapi mereka ini sudah diyakini rakyat. Ia memberi sokongan moral sebab mereka ini mempunyai bukti besar dan ketika itu rakyat tak pernah hadapi keadaan tidak stabil.

“Ketika itu rakyat hidup tanpa cukai barangan perkhidmatan, harga minyak stabil dan keyakinan rakyat tinggi berbanding sekarang, kali ini keyakinan rakyat hilang,” katanya kepada Malaysia Decides.

Beliau diminta mengulas mengenai kesan sokongan kedua-dua pemimpin veteran itu yang kini aktif menyertai kempen PH bersama bekas ketua mereka, Dr Mahathir.

Rafidah semalam membuat penampilan sulungnya menyertai Daim dan Dr Mahathir dalam ceramah PH di Melaka. Susulan itu, Umno hari ini mengumumkan Rafidah dan Daim dipecat daripada parti.

Turut dipecat daripada parti ialah seorang lagi pemimpin veteran Umno, penasihat kerajaan berstatus menteri, Rais Yatim yang juga keras mengritik pentadbiran Najib Razak.

Dalam kempen mereka di pentas PH, Rafidah dan Daim turut mengkritik pentadbiran Najib termasuk skandal penyelewengan perdana menteri itu dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan.

Mengulas mengenai pemerhatiannya ke atas kempen berkenaan, Zainuddin mengakui terkejut melihat sentimen penolakan rakyat secara terbuka terhadap BN yang disifatkan tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Saya tak pernah mengalami keadaan seperti ini, perasaan sayang mereka pada Umno sudah tidak ada. Semua orang yang saya jumpa mereka mengaku mereka tak nak BN.”

Katanya penolakan orang Melayu cuma pernah berlaku sekali iaitu kepada Tunku Abdul Rahman yang ketika itu dilihat terlalu berkropromi dengan kaum Cina.

“Tetapi ketika itu orang cuma marah pada Tunku tetapi tidak sampai menolak Umno. Tapi kali ini mereka bukan saja marah pada Najib tapi BN.” – 5 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen