LIMA tahun lalu, calon pilihan raya Pakatan Rakyat dihalau keluar dari Felda Besout 1, satu daripada 10 penempatan Felda di Tanjung Malim, kubu kuat Barisan Nasional (BN) di selatan Perak.
Kini, calon Pakatan Harapan (PH) dibenarkan mengadakan “ceramah kelompok” di penempatan itu.
Abd Rahman Zakaria, ahli PKR yang menetap di situ berkata peneroka generasi pertama kini bersikap lebih santai terhadap pembangkang.
“Sentimen bertambah baik selepas lawatan Dr Mahathir Mohamad pada Mac. Jiran saya semua penyokong Umno tetapi mereka tidak kacau kami,” katanya yang menganjurkan ceramah dan juga pelatih sukarelawan di Politeknik Sultan Azlan Shah di Behrang.
Beliau yang juga peneroka generasi kedua berkata walaupun takut dipulaukan oleh rakan Umno, tetapi selepas mendengar sendiri apa yang Dr Mahathir katakan, beliau yakin ini masanya untuk mengubah kerajaan persekutuan.
“Memang betul, hidup tidak sesukar ketika zaman Tun dan masa itu tidak ada GST,” kata bekas penyokong Umno itu.
Calon PKR untuk Tanjung Malim, Chang Lih Kang berkata beliau terkejut apabila ada belia Orang Asli yang bertanya kepadanya bagaimana mereka boleh jadi sukarelawan Ejen Tempat Mengundi Ejen Mengira Undi (Paca).
“Ini kali pertama saya ada Orang Asli sukarela menjadi Paca,” katanya.
Orang Asli membentuk 5.3% daripada 68,468 pengundi di Tanjung Malim. Melayu membentuk 55.6%, Cina 25.6% dan Indian 13%.
Di sebalik perubahan dalam sikap rakyat, Chang yang juga naib pengerusi PKR Perak dan juga ADUN dua penggal, masih melihat dirinya tidak popular dalam menentang Pengerusi MCA Perak Dr Mah Hang Soon.
BN kekal di kerusi itu dengan 53% undi pada PRU14. PKR mendapat 45%.
Ceramah PH di Pekan Trolak, Sungkai dan Kampung Baru Slim River turut diterima baik oleh penduduk tempatan, menarik antara 40 dan 150 orang.
Pengawal keselamatan yang akan mengundi kali pertama, Sullochena, 34, berkata beliau sanggup memberi peluang kepada Chang, ketika di ceramah kelompok di Pekan Trolak.
Dengan pendapatan bulanan RM600, Sullochena berkata beliau bimbang dengan masa depan dua anaknya berusia 15 dan 17.
“Anak saya berhenti sekolah untuk jaga suami saya yang sakit kerana kemalangan di tempat kerja. Anak perempuan saya masih bersekolah. Saya harap ‘Lai Chee Kang’ benar-benar dapat bantu kami,” katanya.
Lai Chee Kang, ialah minuman pencuci mulut yang terkenal, menjadi nama gelaran Chang untuk memudahkan pengundi mudah mengingatinya.
Chang mesra dengan penduduk di Kampung Baru Slim River dan mereka sering melepak dengannya di bilik gerakan selepas selesai memberi ceramah.
Seorang suri rumah di kampung baharu Cina di situ berkata semua anaknya akan pulang dari Singapura untuk mengundi pada 9 Mei.
Pengundi bawah umur 40 tahun dikatakan pro perubahan, membentuk 40.7% daripada daftar pengundi di Tanjung Malim. – 5 Mei, 2018.
Komen