Najib tuduh Mokhzani Mahathir pandang rendah golongan miskin


The Malaysian Insight

PERDANA menteri sementara Najib Razak hari ini mendedahkan bilangan kereta mewah yang dikatakan dimiliki ahli perniagaan, Mokhzani Mahathir, ketika pengerusi Barisan Nasional (BN) itu meneruskan serangannya terhadap tokoh pembangkang dan musuh utamanya, Dr Mahathir Mohamad.

Mokhzani adalah anak kedua pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir yang merupakan calon perdana menteri pembangkang sekiranya ia memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mokhzani malam tadi memberitahu orang ramai yang menghadiri ceramahnya di Kedah yang tiada apa perlu dibanggakan menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada kerajaan kerana rakyat sepatutnya berusaha memperoleh hasil pendapatan sendiri.

Najib berkata seseorang yang sudah kaya tidak sepatutnya mengkritik mereka yang membantu golongan miskin.

“Adakah salah kita beri rakyat BR1M? Siapa Mokhzani? Siapa bapanya? Beliau menerima kontrak bernilai berbilion ringgit semasa bapanya berkuasa,” kata Najib sambil menambah yang Mokhzani juga duduk dalam lembaga pengarah syarikat disebabkan ayahnya.

“Saya memberitahu anak-anak saya agar tidak meminta apa-apa daripada kerajaan. Beliau (Mokhzani) sangat kaya, di kalangan yang terkaya di Malaysia. Beliau mempunyai 23 kereta mewah, termasuk kereta sport Bugatti, bukan kereta MyVi atau Proton yang bapanya sangat cintai.”

Mokhzani bercakap malam tadi di ceramah PH di Sungai Tiang, yang terletak di bawah kerusi Parlimen Pendang di Kedah.

Pengasas bersama Sapura Energy Bhd, dan pengerusi serta pengarah eksekutif pengeluar kabel fiber optik Opcom Bhd itu diserang oleh BN susulan ibu bapanya menentang pentadbiran Najib.

Najib mengheret nama Mokhzani bulan lepas semasa menyindir janji PH untuk menghapuskan tol di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) jika ia berkuasa.

“Di mana PH dapat RM380 bilion untuk membayar pampasan konsesi? Tidak kira betapa kaya Mokhzani, malah beliau sendiri tidak akan dapat membayar pampasan sebanyak itu,” kata Najib. – 5 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen