Anwar tidak harus tangguh lagi rombakan kabinet, kata pemerhati 


Ravin Palanisamy

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim tidak seharusnya terus menangguhkan rombakan kabinet kerana beliau perlu meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap pentadbirannya, kata pemerhati politik.

Mereka berkata terdapat beberapa menteri berprestasi rendah dalam kabinet Anwar sekarang yang perlu diganti.

Menurut Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), rombakan boleh meningkatkan kualiti kabinet Anwar.

“PMX (panggilan popular untuk Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10) boleh merombak kabinetnya dengan menggantikan calon baharu atau mengekalkan mereka dengan menukar portfolio mereka.

“Saya fikir rombakan kabinet akan mengukuhkan lagi pentadbiran perdana menteri,” kata pensyarah kanan itu.

Mazlan juga berkata dengan merombak kabinet, kerajaan Anwar akan dapat menyelesaikan beberapa isu tanpa pengawasan dan mungkin mendapat kepercayaan rakyat.

Awal minggu ini, bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin juga menggesa rombakan kabinet.

Beliau menggesa Anwar untuk segera menahan keterbelakangan kerajaan dengan membetulkan dan menggugurkan menteri berprestasi buruk dalam kabinet.

Khairy juga berkata melantik menteri kewangan kedua yang cekap dari segi teknikal untuk memacu pembaharuan yang sukar adalah penting untuk rombakan ini.

Anwar juga merupakan menteri kewangan sekarang.

Sementara itu, Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga bersetuju rombakan kabinet amat diperlukan.

Bagaimanapun, beliau berkata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mempunyai beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan dalam melantik kabinetnya.

“Beliau perlu melantik anggota kanan gabungan luasnya, termasuk dari PH, ke dalam kabinet.

“Beliau perlu memenuhi tuntutan daripada rakan gabungan untuk memastikan kestabilan kerajaan.

“Dalam pada itu, beliau juga perlu meletakkan pemimpin yang berwibawa untuk mengetuai portfolio strategik. Ini termasuk kementerian kewangan, pendidikan, pertanian dan keselamatan makanan, dan maklumat,” kata penolong profesor sains politik itu.

Sementara itu, profesor Pengajian Asia Universiti Tasmania James Chin juga bersetuju bahawa terdapat keperluan drastik untuk rombakan Kabinet.

“Terdapat keperluan drastik untuk rombakan.

“Saya rasa beliau perlu merombak bidang utama, yang terdapat masalah besar, seperti kementerian pendidikan, kesihatan dan kementerian yang berurusan dengan hal ehwal ekonomi.

“Ini adalah tiga bidang besar yang isu terasnya belum diselesaikan,” katanya.

Kosong sejak akhir Julai

Sementara itu, seorang bekas ahli Parlimen PH, yang tidak mahu namanya didedahkan, turut berkongsi pandangan yang sama untuk rombakan kabinet.

Menurutnya, terdapat beberapa menteri “tidak cekap”, yang prestasi mereka agak buruk sejak pelantikan mereka tahun lepas.

“Menteri tidak dapat memberikan sokongan yang diperlukan oleh Anwar.

“Dia perlukan orang yang boleh bekerja. Bukan orang yang bagi duit dan tunjuk mereka buat kerja. Itu tidak boleh diterima lagi,” katanya.

Dalam pada itu Mazlan berkata beliau masih hairan mengapa Anwar tidak melantik pengganti Allahyarham Salahuddin Ayub, yang memegang peranan sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.

“Saya percaya selagi beliau menangguhkan pelantikan kementerian perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup baharu, ia akan mencetuskan panik di kalangan rakyat, termasuk penyokongnya sendiri,” kata Mazlan.

“Apakah halangan yang beliau hadapi untuk melantik menteri baharu?

“Adakah kerana beliau sukar untuk mencari calon, yang boleh setanding dengan Allahyarham Salahuddin atau mungkin sukar untuk menyaingi legasinya?

“Saya percaya dalam Amanah, terdapat ramai pemimpin berpotensi yang boleh dilantik sebagai menteri di kementerian itu,” katanya lagi.

Mazlan berkata, ketika ini banyak isu berkaitan kos sara hidup, harga barang.

Justeru, beliau menegaskan bahawa perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup merupakan kementerian penting yang perlu diuruskan dengan baik dan berkesan.

Sementara itu, Tunku Mohar berkata Anwar mesti segera mengisi kekosongan yang ditinggalkan Allahyarham Salahuddin.

Bagaimanapun, beliau berkata Anwar mungkin perlu mempertimbangkan beberapa faktor sebelum pelantikan itu.

“Jawatan itu kosong sejak sekian lama.

“Sudah tentu ia satu kerja yang sukar untuknya memandangkan pelbagai faktor yang perlu dipertimbangkan,” katanya.

Jumaat lalu, Anwar berkata calon yang sesuai telah dikenal pasti untuk mengisi kekosongan jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup.

Beliau berkata pengumuman akan dibuat tidak lama lagi mengenai pelantikan kabinet bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas menteri itu, Salahuddin pada Julai lalu. – 30 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen