Pengundi tak kisah Shafie lawan adik, sepupu


The Malaysian Insight

Walaupun berbeza pandangan, pengundi merasakan tindakan Presiden Warisan Shafie Apdal yang menentang adik dan sepupunya sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-14 di Parlimen Silam dan DUN Senallang, Sabah tidak banyak memberi kesan kepada mereka. 

Bagi penduduk Lahad Datu yang merupakan salah satu DUN dalam Parlimen Silam, keputusan Shafie menubuhkan Warisan pada 2016 membuatkan mereka terpaksa memilih antara Shafie dan adiknya, Yusof Apdal yang merupakan penyandang kerusi DUN Lahad Datu. Yusof menang pada PRU2013 dengan majoriti undi 8,415. 

Walaupun Shafie dianggap boleh memberi cabaran besar, Yusof juga dilihat sebagai wakil rakyat yang disukai ramai penduduk kawasan itu.

“Saya tahu keluarga mereka baik. Datuk Yusof juga jaga dengan baik kawasan dia,” kata seorang penduduk dikenali sebagai Abdul Rahman Amjun yang ditemui di pekan Lahad Datu.

Menurut Abdul Rahman lagi, Yusof merupakan seorang yang setia kepada Umno-BN dan tidak akan memberi laluan mudah kepada Shafie dan Warisan di kawasan itu.

“Datuk Yusof merupakan Ketua Umno bahagian di sini. Saya tidak nampak dia akan beri laluan senang kepada Warisan. Jadi pilihan pengundi Silam dan Lahad Datu adalah pilihan masa depan mereka sendiri,” kata beliau yang berkata akan tetap mengundi BN.

Munatif Awam dari Kunak juga berpendapat yang pergeseran keluarga terkenal itu tidak memberi kesan kepada pengundi kerana Shafie dan Yusof mempunyai misi berlainan untuk Sabah.

“Ia mudah. Kalau sokong Datuk Yusof itu BN. Kalau sokong Datuk Seri Shafie itu Warisan. Kita mahu Sabah Ubah, kita sokong abangnya dan calon parti abangnya itu,” katanya.

Shafie ketika melawat Kampung Tungku, Lahad Datu pada Khamis lalu, meminta pengundi kawasan itu tidak mengundi adiknya kerana ia akan memberi kelebihan kepada Musa Aman dan Barisan Nasional (BN) untuk terus menerajui Sabah.

“Saya minta orang Lahad Datu undi Warisan. Biar pun dia adik saya jangan undi dia. Undi Warisan Sabah.

“Kalau undi adik saya (bakal) Ketua Menteri (seterusnya) Musa Aman. Kalau undi si Dumi (calon Warisan Pengiran Masdal) (bakal) ketua menteri adalah saya.

“Hak Sabah (adalah) hak orang Sabah bukan hak adik saya. Saya sayang dia. Dia itu adik saya, macam saya sayang si Nasir (Sakaran) juga,” katanya.

Selain adiknya, Shafie juga menentang sepupunya, Nasir Sakaran di DUN Senallang.

Beliau turut menjelaskan kontroversi kononnya beliau tidak diterima keluarga sendiri yang masih setia kepada BN dengan menyindir Najib Razak yang pernah menuduh Shafie sebagai “sahabat yang tikam belakang” kerana mengkritik Jho Low dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Jangan macam Najib, dituduhnya saya tikam belakang. Saya cuma nasihat sebagai sahabat untuk ambil tindakan terhadap 1MDB tapi saya yang diambil tindakan (pecat parti).

“Berapa tahun Najib kenal Jho Low? Berapa tahun kamu kenal Shafie? Kami kenal dari kecil. Dari rambut dia hitam sampai putih. Kalau saya sanggup kalahkan adik saya si Usup (Yusof), takkan lah saya tak boleh tumbangkan Najib di Malaysia,” kata bekas naib presiden Umno itu. – 5 Mei, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen