PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Najib Razak hari ini mendakwa Pakatan Harapan (PH) “mengimport” orang luar untuk meramaikan khalayak di program ceramahnya.
Ribuan orang menghadiri program ceramah PH di seluruh negara, termasuk di kawasan dipegang BN seperti Melaka dan Putrajaya, di mana orang ramai yang hadiri turut disertai penjawat awam.
Tetapi, perdana menteri sementara itu menolak khalayak besar itu, berkata beliau sudah “periksa” dan mendapati PH membawa orang ramai dari luar.
“Siapa kata ceramah BN tidak ada respons? Kita kita bawa orang dengan bas. Saya tidak nampak bas. Mungkin ada satu atau dua.
“Tetapi ceramah PH di Putrajaya baru-baru ini, yang saya lihat dari media sosial, saya tidak nampak penjawat awam. Mereka tidak kelihatan seperti penjawat awam. Saya tahu muka penjawat awam.
“Selepas pemeriksaan, saya mendapati mereka (PH) membawa orang dari luar. Tetapi mereka dakwa penjawat awam sokong mereka. Ini permainan politik, penipuan. Mereka akan buat apa saja asalkan matlamat mereka tercapai.
“Saya ingin beritahu anda pada malam 9 Mei, Putrajaya milik BN,” katanya pada program BN bertemu rakyat di Pasir Gebu di Penaga, Kepala Batas hari ini.
Najib bercakap di hadapan lebih 5,000 orang memakai kemeja T BN, bahawa barisan pemerintah tidak kehilangan sokongan kerana bantuan yang diberikan kepada rakyat.
“Siapa bantu nelayan? Bolehkah mereka letak harapan pada DAP? PKR? Kami yang melindungi kepentingan nelayan dan pesawah padi,” katanya.
Pasir Gebu ialah kawasan luar bandar di mana penduduk tempatan menerima bantuan bulanan daripada kerajaan persekutuan.
Terdahulu, penyandang kerusi Kepala Batas, Reezal Merican Naina Merican yang juga timbalan menteri luar sementara, berkata BN akan menang dengan majoriti lebih besar kali ini.
Parlimen Kepala Batas mempunyai 60,523 pengundi berdaftar dengan 78.65% Melayu, 17% Cina dan 4.11% India, sering dikaitkan dengan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi wakil rakyat di situ dari 1978 hingga 2013.
Reezal menang kerusi itu dengan majoriti 4,176 undi pada PRU lalu, dan dalam mempertahankan kerusi itu, beliau akan berdepan dalam pertandingan tiga penjuru melawan PH dan PAS pada PRU14. – 5 Mei, 2018.
Komen