Bolehkah Rafidah Aziz gegar sokongan rakyat?


The Malaysian Insight

RAFIDAH Aziz akhirnya naik pentas ceramah politik selepas sekian lama lantang mengkritik Umno dan pentadbiran Najib Razak di Facebook terutamanya bersabit skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengurusan ekonomi Malaysia.

Di Melaka malam tadi, di hadapan ribuan orang yang datang mendengar ceramah Pakatan Harapan (PH), beliau berucap bersama pimpinan gabungan politik itu diketuai bekas ketuanya dalam Umno dan Kabinet lama dulu, Dr Mahathir Mohamad.

“Saya ini sabar. Bila pencen tu tengok apa kerajaan buat, kalau okay, tak ada masalah. Tapi sudah sampai masa saya fikir ada yang tidak berjalan dengan betul,” katanya, menjelaskan alasan kenapa beliau bersuara sekarang.

Hari ini, Umno memecat Rafidah daripada parti itu yang sayap wanitanya pernah beliau pimpin selama 10 tahun antara 1999 hingga 2009.

Sebelum ada yang nanti mengecamnya – atau mewajarkan tindakan ke atasnya – kerana “duduk sepentas dengan pembangkang”, Rafidah dalam ceramahnya malam tadi mengingatkan betapa sekarang ini “tidak ada kerajaan, tidak ada pembangkang”. Ini musim kempen pilihan raya, sebelum rakyat memilih kerajaan yang baru, katanya.

Rafidah masih Rafidah yang dulu. Ucapannya begitulah. Bahasanya tidak bombastik, sangat mudah difahami. Analoginya terang, lebih jelas maksud.

Malaysia ini rumah besar yang diuruskan oleh Barisan Nasional (BN), katanya. Rakyat adalah tuan rumah. Kerajaan hanya pengurus yang dipilih oleh rakyat dan diberi “kontrak” setiap lima tahun sekali.

“Itulah pilihan raya. Pilihan raya ini kerajaan minta daripada rakyat supaya beri kontrak baru,” katanya.

Tetapi sekarang ini keadaan sudah jauh berlainan, katanya. Pintu berlopong hilang, bumbung pun sudah hilang dan tingkap dicuri orang tetapi pengurus masih kata semuanya okay.

Rumah juga sudah dimasuki penyangak “curi almari, curi barang dapur”, katanya tetapi itupun pengurus masih kata okay. Malah katanya, segala macam makhluk perosak pun sudah mula bersarang.

“Anai-anai dah mula merosakkan tiang rumah ini. Ini sebabnya saya keluar, ini sebabnya,” kata Rafidah.

Dengan kedudukan dan pengalamannya yang panjang dalam Umno dan kerajaan, apakah Rafidah cakap kosong apabila menyeru rakyat supaya “jangan sambung kontrak” kepada BN apabila mereka memilih “pengurus rumah” pada 9 Mei ini?

Rafidah mula masuk politik semasa umurnya 22 tahun, semasa ayah kepada Najib perdana menteri. Beliau bermula sebagai senator sebelum bertanding pilihan raya 1978 terpilih wakil rakyat Selayang. Beliau kemudian bertanding di Kuala Kangsar dan mewakili bandar diraja itu di Parlimen antara 1982 hingga 2013.

Dalam Kabinet Dr Mahathir, Rafidah adalah menteri perdagangan antarabangsa yang mengendalikan hal ehwal import eksport Malaysia dengan dunia.

Beliau mempertahankan kerusinya di Kuala Kangsar pada 2008 ketika beberapa menteri Kabinet kalah pilihan raya. Tetapi selepas PRU12 itu, Rafidah tidak tersenarai dalam Kabinet Abdullah Ahmad Badawi.

Selepas hilang jawatan Kabinet, dan kerana begitulah jiwa politik Umno, Rafidah hilang pula pengaruh dalam parti. Beliau kalah pemilihan jawatan ketua Wanita Umno kepada Sharizat Abdul Jalil.

Tetapi itu 10 tahun yang lalu. Selepas 10 tahun pencen, Rafidah malam tadi kembali ke gelanggang. Beliau tidak bertarung, tetapi sebagai tukang sorak kepada mereka yang berlawan.

Rafidah menutup ceramah 10 minitnya yang terganggu beberapa kali kerana ketibaan pemimpin lain dengan seruan yang jelas: Pada 9 Mei ini, jangan lagi beri kontrak kepada pengurus yang sama yang tidak jaga rumah ini dengan bertanggungjawab.

Apakah seruannya tidak akan menggerakkan 50% pengundi wanita yang layak membuat pilihan?

Apakah seruannya tidak akan menggerakkan pengundi yang melihat beliau sebagai ikon kejayaan?

Apakah seruannya tidak akan menggerakkan kelompok wanita Melayu yang pernah menyokongnya dalam Umno dahulu?

Masih terlalu awal, kata pensyarah universiti yang menganalisis pilihan raya umum ke-14 ini.

Ya, memang masih “terlalu awal” kerana tiga hari lagi baru rakyat akan mengundi. Selepas ada keputusan pilihan raya barulah kita tahu veteran Umno yang kini berkempen dengan PH itu ada kesannya atau tidak. Sama ada kocak dalam cawan atau ombak bergulung, kita akan tahu minggu depan.

Apabila rakyat membuat penentuan pada 9 Mei ini, pilihan mereka hanya dua: masa lalu atau masa depan. Untuk diri mereka sendiri. Untuk menguruskan rumah besar bernama Malaysia. – 5 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen