Dr Mahathir mohon maaf pada mangsa Memali atas nasihat Amanah


The Malaysian Insight

KECUAIAN Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan yang menyinggung tentang insiden Memali meletakkan jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH) dalam keadaan kawalan kerosakan.

Kini pembangkang perlu menunggu dan lihat sama ada permohonan maaf serta-merta yang dibuat Dr Mahathir menerusi satu klip video itu akan dapat menenangkan penyokong PAS yang mahu menyokong PH pada PRU14 sebelum komen “mati katak” itu terkeluar ketika himpunan di Lembah Pantai.

Difahamkan, Dr Mahathir yang juga pengerusi PH membuat permohonan maaf selepas menggelar mangsa tragedi Memali sebagai “mati katak” atas nasihat pemimpin parti Amanah.

Sumber memberitahu, Amanah meminta Dr Mahathir membuat permohonan maaf itu kerana bimbang kenyataan tersebut merencatkan usaha parti itu untuk menarik sokongan daripada penyokong PAS pada 9 Mei.

“Kesilapan Dr Mahathir mengungkit kisah Memali menyebabkan ramai ahli PAS yang mahu menyokong PH di Kedah berpatah balik.

“Walaupun apa yang dikatakan Dr Mahathir ada benarnya, pada masa sekarang bukan lagi nak persoal siapa benar siapa salah tetapi soal siapa dapat tarik sebanyak sokongan maka dialah pemenang pada PRU14,” kata sumber yang tahu perkara itu, dengan syarat tidak dinamakan.

“Alhamdulillah Dr Mahathir denga4 nasihat kami. Sekarang kita teruskan fokus berkempen untuk menang PRU14.”

Dr Mahathir dalam ucapannya pada Khamis berkata, “Amanat Hadi” yang merujuk kepada ucapan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 1981 menjadi punca berlakunya peristiwa Memali pada 1985.

Dalam ucapannya di Lembah Pantai itu, Dr Mahathir berkata orang awam yang terbunuh itu bukan mati syahid, sebaliknya “mati katak”.

Dr Mahathir membuat permohonan maaf berhubung kenyataannya itu semalam.

“Saya dalam ucapan-ucapan saya, kadang-kadang tersilap kata. Saya minta maaf kalau saya menyebabkan kemarahan orang tertentu,” katanya dalam sebuah video di laman Youtube yang dikongsi ke akaun media sosialnya.

Sebagai reaksi kepada permohonan maaf itu, presiden PAS berkata beliau memaafkan Dr Mahathir jika calon kerusi Parlimen Langkawi itu melakukan kesalahan terhadapnya.

“Kalau kesalahan berkaitan dengan saya, saya maafkan dia. Kalau berkaitan dengan Tuhan, dia kena taubat sebab dia dengan Allah,” kata Hadi kepada pemberita.

Dalam peristiwa pada 1985 itu, 14 penduduk kampung Memali dan empat anggota keselamatan terbunuh dalam usaha mereka menangkap seorang ustaz yang juga pemimpin PAS setempat, Ibrahim Mahmud.

Tokoh itu yang lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya enggan menyerah dan ketegangan itu berakhir dengan pertumpahan darah. – 5 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen