UMNO merupakan pertubuhan haram dan setiausaha agungnya Tengku Adnan Tengku Mansor tidak mempunyai hak untuk memecat sesiapa, kata Daim Zainuddin.
“Sebagai setiausaha agung, Tengku Adnan bertanggungjawab terhadap huru-hara yang berlaku dalam Umno hari ini,” kata bekas menteri kewangan itu dalam satu kenyataan ringkas kepada Malaysia Decides:
Hari ini Tengku Adnan mengesahkan parti itu memecat 3 pemimpin veterannya, Daim, Rafidah Aziz dan Rais Yatim.
“Semalam, surat-surat telah disediakan, saya tandatangani dan hantar pada mereka. Mereka sendiri tahu dan mereka barangkali hendak kita gugurkan mereka sebagai ahli.
“Mereka bersama kami dahulu, hari ini kita perbetulkanlah, kita dalam satu jemaah, kini mereka dalam jemaah menuding jari. Ini tak patut dan tak adil,” katanya kepada pemberita selepas memantau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Putrajaya, hari ini.
Bulan lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan 16 bekas ahli Umno mencabar kesahihan parti itu atas kegagalan mengadakan pemilihan sejak 2013.
Pada 20 April lalu, 16 bekas ahli Umno memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap parti itu atas alasan penangguhan pemilihan sehingga tahun depan melanggar perlembagaan parti.
Mereka berkata, perlembagaan Umno menyatakan pemilihan parti perlu diadakan setiap tiga tahun dan pucuk pimpinan hanya boleh menangguhkannya selama 18 bulan.
Disebabkan itu mereka dipecat daripada Umno. Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan mereka.
Daim dan Rafidah menyokong Pakatan Harapan dengan menghadiri ceramah anjuran gabungan empat parti pembangkang itu, manakala Rais pula membidas Umno dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara terbuka melalui akaun media sosialnya. – 5 Mei, 2018.
Komen