Tukang emas risau cukai barangan mewah jejas perniagaan


Angie Tan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berakata kerajaan akan ggubal undang-undang untuk menguatkuasakan cukai 5% hingga 10% untuk barang mewah termasuk barangan kemas. – Gambar EPA, 29 November, 2023.

TUKANG emas bimbang cukai barangan mewah yang bakal dikuatkuasakan 1 Mei bakal memberi kesan negatif terhadap industri jualan itu.

Pengerusi Persatuan Perdagangan Barang Kemas Johor Selatan Soh Lip Sim berkata bukan golongan kaya saja yang membeli emas.

“Ada orang beli emas bukan sekadar untuk memakainya. Kebanyakan masa mereka membelinya untuk pelaburan, bukan sebagai barangan mewah,” katanya.

Beliau berkata tidak adil untuk kerajaan mengenakan cukai kepada emas sebagai barangan mewah.

Soh berkata cukai barangan mewah juga akan menjejaskan industri tempatan.

“Sebanyak 90% daripada barang kemas yang dijual dibuat di dalam negara. Jika kerajaan bertegas untuk mengenakan cukai barangan mewah, ia akan menjejaskan pembangunan industri itu.

“Contohnya, jika kerajaan mengenakan cukai untuk pembelian ambang nilai RM10,000, pembeli akan hanya beli barang kemas di bawah paras itu bagi mengelak dikenakan cukai.

“Pada masa sama, pengeluar akan menghasilkan barang kemas lebih murah dan tidak lagi mengeluarkan barang kemas mahal.”

Beliau berkata cukai barangan mewah akan menyebabkan persaingan lebih sengit dalam kalangan penjual kerana mereka yang fokus kepada barangan kemas mahal akan memilih untuk menjual barangan di bawah harga RM10,000.

Soh yang juga pengarah urusan LiTZ Goldsmith & Jewellery Sdn Bhd berkata akibat harga emas yang tinggi, ia menjejaskan perniagaan barangan kemas.

Beliau berkata jika dibandingkan tempoh puncak (pembelian selepas pandemik) dengan pada masa ini, industri barangan kemas perlahan sebanyak 30%.

“Kami berada di Johor Bahru, jadi keadaan lebih baik sedikit kerana kami dekat dengan Singapura. Ringgit yang lemah masih menarik ramai warga Singapura datang ke sini, jadi perniagaan kami tidak terjejas teruk.

“Tetapi rakan penjual kami di utara berkata perniagaan mereka agak teruk,” katanya.

Katanya, masa depan industri barangan kemas bergantung kepada dasar kerajaan dan ekonomi.

Pada 13 Oktober, ketika membentangkan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menggubal undang-undang untuk menguatkuasakan cukai 5% hingga 10% untuk barang mewah termasuk barangan kemas dan jam berdasarkan kepada nilai ambang harga barangan. – 29 November, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen