Ceramah PKR sokong Prabakaran di Batu disiasat polis


The Malaysian Insight

CERAMAH Solidariti anjuran PKR yang di adakan berhadapan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul malam tadi disiasat polis mengikut Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 kerana tidak mempunyai permit Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia.

Bernama memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy yang mengatakan pihaknya hanya menerima surat daripada PKR menyatakan ceramah berkenaan akan dijalankan, tetapi ia tidak dibenarkan kerana parti itu tidak mempunyai calon bertanding di kawasan itu.

“Selain itu, surat permohonan perlu dihantar 10 hari sebelum ceramah berkenaan berlangsung,” katanya seperti dipetik Bernama.

Menurut Munusamy lagi, permit ceramah itu sepatutnya dimohon oleh P. Prabakaran, seorang calon bebas yang bertanding di situ dan bukannya PKR.

Ceramah malam tadi dijalankan bagi menyatakan sokongan PKR kepada calon bebas P. Prabakaran untuk kerusi Parlimen Batu. Bekas ahli Parlimen kerusi itu, Tian Chua diisytiharkan hilang kelayakan bertanding oleh SPR pada hari penamaan calon kerana denda RM2,000 berkaitan kesalahan menghina seorang pegawai polis pada 2 Mac lalu.

Tian Chua mengheret SPR ke mahkamah bagi membolehkannya bertanding, tetapi semalam samannya ditolak atas alasan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menimbang tara perbalahan pilihan raya.

Parlimen Batu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dr Dominic Lau (Barisan Nasional), Azhar Yahya (PAS) dan dua calon bebas, Prabakaran and V.M. Panjamothy. – 5 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen