Harga emas naik, orang ramai ambil kesempatan cairkan simpanan


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pemilik emas mengambil kesempatan menggadai emas simpanan dan barang kemas mereka ketika harga emas di pasaran mencecah sekitar RM300 segram – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2023.

PEMILIK emas mengambil kesempatan menggadai emas simpanan dan barang kemas mereka ketika harga emas di pasaran mencecah sekitar RM300 segram untuk mendapatkan tunai bagi menyelesaikan urusan tertunggak atau menambah modal perniagaan.

Tinjauan di Cheras, Petaling Jaya, Seri Kembangan dan Kajang mendapati ada yang mula berurusan di beberapa kedai pajak gadai sebaik dibuka pukul 9 pagi.

Keadaan ini biasa sejak harga emas naik melebihi harga tertingginya sekitar RM280 segram lebih sebulan yang lalu, kata mereka.

Seorang peniaga nasi lemak di Kajang berkata beliau membeli emas sebagai pelaburan, yang beliau cairkan ketika harga emas melonjak naik kerana pulangannya juga lebih tinggi.

“Duit gadai emas ini saya akan gunakan sebagai modal berniaga untuk buka satu lagi kedai nasi lemak di Semenyih untuk anak uruskan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Seorang ibu tunggal yang mahu dikenali sebagai Sarah, 54, pula berkata, kenaikan harga emas memberi peluang kepadanya menyelesaikan beberapa urusan yang tertangguh hasil pulangan baik menggadai emas perhiasannya.

Sarah yang bekerja sebagai tukang cuci di bangunan pejabat kerajaan berhasrat  membeli sebidang tanah di kampung halamannya di Temerloh, Pahang.

“Ketika saya datang ada dalam lima orang pelanggan di kedai. Biasanya ketika harga emas rendah, kedai ini agak lengang,” katanya.

Sarah berkata sejak 10 tahun lalu, harga emas jarang melonjak naik hingga ke RM300 dan ini peluang keemasan untuk menjadikan emas sebagai modal pelaburan.

Sementara itu, di beberapa kedai emas di Lembah Klang pula, harga emas yang tinggi mendorong sesetengah pengguna menjual barangan kemas mereka untuk mendapatkan keuntungan.

Peniaga emas, Shahid Ali Muhammad Ali, 32, mengakui banyak orang datang menjual barangan kemas mereka dalam tempoh sebulan ini selepas harga emas perhiasan 916 meningkat lebih 50 peratus.

“Dalam tempoh beberapa tahun ini, harga emas pada masa ini adalah yang tertinggi sehingga melebihi RM280 untuk satu gram bagi emas perhiasan 916. Kebanyakan golongan wanita mengambil kesempatan menjual barangan kemas mereka.

“Mereka jual emas kerana mahu memegang duit tunai yang lebih banyak termasuk untuk membeli barangan keperluan harian,” katanya ketika ditemui di Brickfields.

Ada juga sesetengah pengguna yang menukar emas lama dengan emas baru, tambahnya.

Seorang lagi pemilik kedai emas Teoh Boon Cheah, 37, berkata, penjualan emas pada harga tinggi adalah perkara biasa, seperti yang pernah berlaku ketika pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih dua tahun lalu.

“Ketika itu, orang ramai menjual barangan kemas kerana harga tinggi dan mereka mahu memegang wang tunai selepas tidak dapat bekerja berikutan PKP.

“Mereka juga menjual emas ketika itu kerana bercadang untuk membeli emas pada harga yang rendah. Namun, harga emas tidak turun seperti dahulu hingga membuatkan orang ramai tidak membeli kembali emas.

“Namun, bagi yang ada barangan kemas mereka mengambil kesempatan menjual emas mereka pada masa ini,” katanya ketika ditemui di Petaling Jaya.

Jelas Teoh, harga emas tinggi menyebabkan jualan emas di kedainya merosot 50 peratus, antara lain kerana orang ramai takut untuk membeli emas ketika harga di puncak.

Seorang peniaga emas di Lebih Ampang, Nurul Hamizah Mohd. Izani berpendapat harga emas pada masa ini naik kerana ketegangan di Palestin selain krisis kewangan dunia.

Jelasnya, harga emas sebelum Israel menyerang Palestin berada di sekitar RM270 setiap gram.

“Sebelum ini harga menunjukkan trend turun naik daripada RM270 kepada RM260/g sebelum naik RM5 beberapa kali bulan ini sehingga terkini mencecah RM301/g.

“Keadaan ini menyebabkan le­bih ramai pelanggan datang mahu menggadai barang kemas berbanding membeli,” katanya ketika ditemui di kedai emasnya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Saraswathy Ramayah tidak pasti sama ada harga emas akan turun dalam masa terdekat selagi keadaan di Palestin tidak reda.

“Jika perang di Semenanjung Gaza berakhir sekali pun, mungkin mengambil masa untuk melihat harga emas kembali turun disebabkan campur tangan Amerika Syarikat dan Rusia.

“Situasi ini pastinya menggusarkan golongan peniaga dengan sambutan dingin oleh pelanggan yang kini turut berhadapan dengan isu kenaikan kos sara hidup,” katanya. – 29 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen