PESARA tentera, Nordin Baharum menunggu dengan sabar kehadiran Dr Mahathir Mohamad di Pekan Merlimau, Melaka. Sinaran panas matahari di waktu rembang petang itu tidak dihiraukannya.
Beliau berdiri bersama kira-kira 1,000 orang di Dataran Datuk Mahadi di pekan itu. Kira-kira 200 buah kerusi di hadapan pentas sudahpun dipenuhi sejak jam 3.30 petang.
Nordin, 68, mengakui bahawa beliau tidak begitu gemar kepada Dr Mahathir, namun tetap hadir untuk mendengar sendiri tawaran meringankan beban hidupnya dari mulut bekas perdana menteri itu.
Beliau mengharapkan satu perubahan akan terjadi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana tidak tahan lagi dengan harga barang yang meningkat akibat Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
“Saya nakkan perubahan. Kalau ikutkan saya memang tak suka dengan Tun. Tapi sebab dia nampak nak berubah, itu yang saya datang.
“Saya lepas bersara tentera memang terus tak sokong BN. Dan pakcik memang paling tak berkenan dengan GST. Semua orang kena, miskin pun kena,” katanya kepada Malaysia Decides.
Seorang lagi pengundi tempatan yang ditemui, Kamilah Faat, mengeluh dengan perniagaan makanannya yang dikatakan hampir tiada untung kerana GST.
“Saya sokong sebab Tun cakap nak hapuskan GST. Sebab GST yang buat harga barang jadi mahal dan orang tak mampu nak beli barang kalau saya jual mahal sikit. Semua nak tunggu lepas dapat gaji.
“Lagipun sini kawasan kampung. Saya tak boleh nak kekalkan harga kalau barang-barang semua kena GST,” kata, Kamilah, 47.
Seorang suri rumah anak lima yang turut hadir, K Sarojeeni pula berkata, jika dibandingkan dengan lima tahun sebelum ini dan sekarang, kehidupannya hanya cukup-cukup makan. Malah, beliau juga tidak mampu membuat simpanan bulanan.
“Belanja makan kat luar memang dah tak ada. Kami sekeluarga potong cara berbelanja. Tapi nasib baik tiga orang anak saya dah bekerja,” katanya.
Sarojeeni, 49, juga berpendapat kawasan kubu kuat BN itu akan jatuh ke tangan PH pada kali ini.
“Saya selalu tengok Tun M di Youtube saja. Tapi kali ni saya datang sebab nak bagi sokongan sebab saya memang dah nampak petunjuk akan berubah,” kata Sarojeeni.
Pada kira-kira jam 5.30 petang, barulah Dr Mahathir tiba dan disambut dengan tepukan gemuruh dan laungan sorakan “Hidup Tun”.
Dalam ucapannya, selain memberi tawaran untuk menghapus GST, Dr Mahathir turut membangkitkan mengenai dakwaan salah laku yang dilakukan Perdana Menteri sementara Najib Razak.
Ia merupakan kunjungan sulung Dr Mahathir ke Melaka dalam tempoh kempen ini, yang masuk hari kelapan hari ini. Jelajah ke Melaka itu disudahi dengan ceramah mega pada malam tadi di Bukit Katil. Ia turut disertai dua veteran Umno yang merupakan bekas menteri kanannya, Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz. – 5 Mei, 2018.
Komen