BN sudah terlalu lama berkuasa, kata Dr Mahathir


The Malaysian Insight

KERAJAAN Barisan Nasional yang terlalu lama memerintah Malaysia perlu ditewaskan pada pilihan raya ini atau keadaan negara akan bertambah buruk, kata Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri selama 22 tahun berkata yang pemimpin BN sekarang sedang memusnahkan negara.

“Sudah terlalu lama sejak negara kita capai kemerdekaan, kita hanya kenal satu kerajaan,” katanya kepada ribuan hadirin di Bukit Katil, Melaka malam tadi.

“Kita lihat kerajaan ini semakin lama berkuasa, semakin teruk jadinya,” katanya.

Dr Mahathir, 93, berkata penyandang jawatan Perdana Menteri, Najib Razak semakin terdesak mahu terus berkuasa seperti dapat dilihat dalam isu pembatalan pendaftaran Bersatu bulan lepas.

“Dia (Najib) mahu halang parti pembangkang daripada bertanding. Tiada jawapan bila kita mohon,” katanya yang menubuhkan Bersatu selepas keluar Umno pada 2016.

“Ini cara baharu. Dulu ada jawapan, tetapi di zaman Najib kita tak dapat jawapan,” katanya.

Dr Mahathir yang ucapannya seringkali terganggu dengan sorakan gempita hadirin berkata kehadiran ramai orang pada majlis anjuran pakatan pembangkang adalah tanda yang rakyat mahukan perubahan.

“Kita perlu menang! Kita mesti menang,” katanya kepada khalayak yang kemudiannya bersorak “hidup Tun”.

Ceramah malam tadi menampilkan pemimpin tertinggi PH dan bekas menteri kanan Umno Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz.

Antara pemimpin PH yang hadir termasuklah Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu. – 5 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen