MALAM tadi persekitaran Pejabat Perhubungan PKR Melaka berubah wajah apabila hampir 12,000 orang memenuhi perkarangan kawasan rumah kedai itu.
Matlamat mereka sama; menyingkirkan kerajaan Barisan Nasional. Laungan “hidup Tun” dan “reformasi” bergema apabila bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengambil tempat di atas pentas memberikan ceramah.
Kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)- yang dianggap paling genting dalam sejarah Malaysia moden- dipenuhi dengan pelbagai kejutan.
Jika pilihan raya lepas, laungan “reformasi” disebabkan kehadiran Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, kali ini laungan itu bergema disebabkan kehadiran tiga tokoh utama Umno- bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin, bekas ketua wanita Umno Rafidah Aziz dan Dr Mahathir- yang secara terbuka berkempen untuk Pakatan Harapan. Situasi yang tidak pernah dijangka berlaku oleh sesiapa sedekad lalu.
Bagi Jeffry Zain, 54, meskipun merasakan Dr Mahathir banyak buat silap dalam mentadbir negara, tetapi sekarang beliau yakin dengan perubahan yang akan dilakukan oleh calon perdana menteri pakatan pembangkang itu.
“Kalau lima tahun lalu Melaka memang kubu kuat BN, tapi sekarang ramai orang dah sedar sebab ramai yang nak berubah. Saya yakin Tun boleh jalankan pentadbiran negara dengan berkesan,” katanya kepada Malaysia Decides.
Jeffry juga berkata sudah ramai golongan seusianya yang tidak lagi termakan dakyah jika PH mengambil alih Putrajaya, bermaksud negara akan jatuh ke tangan DAP dan dipimpin Lim Kit Siang.
Darren Kong, seorang eksekutif pemasaran juga menyatakan sokongan kepada PH kerana merasakan situasi buruk ekonomi negara semakin serius.
“Apa yang pemimpin-pemimpin itu katakan semua adalah apa yang terjadi sekarang dan sudah tiba masanya kita bawa imej baru kepada negara kita supaya kita tak jadi bahan ketawa oleh negara lain,” katanya.
Anak jati Melaka berusia 40 tahun itu berkata, soal bekas perdana menteri keempat itu disukai ramai atau tidak bukanlah satu isu utama kerana yang lebih mustahak adalah perubahan berlaku supaya negara dapat dibangunkan semula.
Menurut seorang lagi hadirin yang hanya mahu dikenali sebagai Abdulah, 56, pula kehadiran bekas pemimpin seperti Rafidah dan Daim meningkatkan keyakinan rakyat terhadap PH untuk membentuk kerajaan baru.
“Saya lebih yakin bila nampak nama mereka sebab mereka ada karisma untuk bentuk kerajaan dan Kabinet baru.
“Apa yang dicakapkan tu kedengaran logik dan orang ramai pula memang mahukan perubahan kerajaan yang selama ini tak boleh dipercayai,” katanya.
Dalam ucapan selama 25 minit, Dr Mahathir yang juga calon Parlimen Langkawi menyeru orang Melaka bersatu menjatuhkan Najib Razak kerana menyeleweng wang rakyat menerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Negarawan berusia 93 tahun itu hadir bersama isterinya, Dr Siti Hasmah Mohamed Ali pada jam 10.15 malam disambut para hadirin yang berasak mahu berjumpanya. – 5 Mei, 2018.
Komen