DENGAN hanya empat hari sahaja lagi sebelum hari pengundian, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Johor memperhebat usaha mereka untuk meraih undi di kawasan utara dan tengah negeri itu.
Ceramah dianjurkan PH menarik ribuan orang di kawasan utara negeri itu termasuklah di Segamat, Labis, Bakri, Muar dan Ledang.
Di kawasan tengah pula, ceramah lebih besar di sekitar kerusi Ayer Hitam yang menyaksikan pakar strategi DAP Liew Chin Tong berdepan Timbalan Presiden MCA Dr Wee Ka Siong.
BN juga mengadakan acara besar-besaran di Yong Peng dan sekitarnya, menarik rakyat pelbagai kaum berbanding majoriti Cina yang menghadiri majlis PH.
Di kawasan utara pula seperti di Pagoh, Bakri, Labis, Muar dan Ledang, calon mengadakan ceramah setiap malam di kawasan Felda dan Parit.
Pada Khamis malam, calon PH-DAP di Bakri, Yeo Bee Yin menarik hampir 800 orang untuk mendengar ceramahnya. Dua malam sebelum itu, penyandang kerusi Pagoh daripada Bersatu, Muhyiddin Yassin dan calon Muar, Syed Saddiq pula menarik sekitar 150 orang di kawasan terpencil, Parit Nawi.
Antara penceramah jemputan PH yang datang ke Johor ialah penyandang kerusi Puchong dan Damansara Gobind Singh Deo, Tony Pua, exco Selangor V Ganabatirau dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Selain Rafizi Ramli, tiada tokoh terkenal PKR datang ke Johor.
BN juga memperhebat serangan dengan penyandang kerusi Muar, Razali Ibrahim melakukan tiga sesi ceramah setiap malam. Penceramah jemputan PKR setakat ini termasuklah bekas pemimpin PKR Lokman Adam dan CEO 1MDB Arul Kanda yang hadir berucap di Sri Gading dua malam lepas.
Menariknya, di kawasan selatan negeri keadaan lebih senyap dan hanya Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin yang berkempen untuk BN. Kempen di kawasan itu kebanyakannya dilakukan di Johor Bahru dan Iskandar Puteri tetapi mengabaikan Tanjong Piai, Pulai dan Pontian.
Guna digital
Kebanyakan calon kawasan tengah pula menggunakan lintas langsung di Facebook untuk kempen mereka. Kebanyakan majlis dan sidang media di kawasan itu disiar secara langsung menerusi media sosial utama itu.
Kedua-dua pihak juga memperhebat iklan politik mereka dan kehadiran di media sosial. Walaupun sukar menemui poster dan bendera kedua-dua pihak di bandar Muar, poster digital Razali akan muncul sekiranya anda melakukan carian Google di Muar.
Dalam kehebatan kedua-dua kempen BN dan PH, PAS sunyi sepi. Selain beberapa papan iklan, bendera dan poster calon mereka, tidak banyak sesi ceramah yang diadakan parti Islam itu. – 5 Mei, 2018.
Komen