Calon bebas Batu disokong PKR janji tak masuk BN


The Malaysian Insight

CALON bebas Batu, P Parbakaran yang bersekutu dengan PKR menegaskan malam tadi yang beliau tidak akan menyertai Barisan Nasional (BN) sekiranya menang kerusi itu.

Pengundi Batu sebelum ini meluahkan kebimbangan yang calon berusia 22 tahun itu akan menyertai BN jika menang di kerusi Parlimen Batu.

Dalam sidang media pertama selepas mengumumkan beliau akan menerajui perjuangan Pakatan Harapan, beliau memberikan jaminan akan menyertai PKR selepas pilihan raya.

“Peluang saya bertanding di Batu bertambah baik selepas disokong PKR,” kata pelajar jurusan undang-undang itu.

“Saya juga gembira bekerja dengan Tian Chua dan membina platform untuk anak muda.”

Kerusi Batu kini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dr Dominic Lau (Gerakan), Azhar Yahya (PAS), dan dua calon bebas, Prabakaran dan V.M. Panjamothy.

Prabakaran berkata sebab beliau bersetuju bekerjasama dengan PKR adalah kerana matlamat mereka sama.

“Saya masuk arena ini adalah kerana saya mahu bangkitkan suara anak muda.

“Kebanyakan mereka dalam Parlimen berusia lebih 50 tahun. Kita perlukan suara lebih muda,” katanya.

Parbakaran juga berkata beliau akan dapat mengimbangi tugasnya sebagai wakil rakyat dan pelajar sekiranya terpilih.

“Saya akan seimbangkan kerana saya perlu tunjuk contoh yang baik untuk anak muda.”

Katanya, ibubapa dan keluarga kawan-kawannya menyumbang kepadanya bagi membolehkan beliau bertanding.

Penyandang kerusi Batu, Tian Chua “sangat jelas” yang calon disokong PKR adalah calon yang sependapat dan sealiran dengan prinsip Pakatan Harapan.

“Saya kenal rapat ibubapanya. Malah, mereka adalah pengundi yang mengundi saya sejak dua pilihan raya lepas,” katanya kepada wartawan.

“Jadi saya kenal Praba. Ini kali pertama dia terlibat dalam politik,” katanya.

Chua berkata Prabakaran mulanya hanya mahu mencuba: “Tetapi sekarang, tugasnya lebih besar kerana dia perlu mengambil serius cabaran ini bagi memastikan kita menang kerusi ini.”

“Jika dia menang dia akan ada pengalaman sebagai ahli Parlimen. Saya akan ajar dan bantu dia,” katanya.

Tian Chua, ahli Parlimen Batu selama dua penggal tidak akan mempertahankan kerusi itu selepas diumumkan hilang kelayakan pada hari penamaan calon. Rayuannya ditolak mahkamah tinggi semalam dan dinasihatkan untuk memfailkan petisyen pilihan raya selepas hari pengundian. – 5 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen