Di Melaka bersejarah, serangan Pakatan takluk Putrajaya bertambah hebat


The Malaysian Insight

JIKA Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas Putrajaya pada 9 Mei, semalam akan diingati sebagai hari bermulanya perarakan terakhir perarakan untuk menyingkirkan kerajaan Barisan Nasional.

Di negeri bersejarah inilah Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan yang Kemerdekaan negara bakal dicapai di Dataran Pahlawan.

Pentingnya peristiwa itu dalam sejarah negara tidak dilupakan oleh calon perdana menteri PH, Dr Mahathir Mohamad dan hampir 12,000 mereka yang hadir berkumpul di negeri itu semalam.

“Saya tak berada di situ ketika Tunku bawa balik berita mengumumkan Merdeka dari British. Tetapi, saya yakin yang ia sebuah detik bersejarah tetapi tidak sama seperti malam ini.

“Ini menunjukkan betapa kuat orang Melaka dan Malaysia mahu perubahan kerajaan,” katanya disambut sorakan gempita puluhan ribu hadirin yang datang.

Detik dan mesej perubahan itu dibawa secara langsung ke seluruh negara menerusi lintas langsung Facebook yang ditonton puluhan ribu pengguna media sosial.

Malam semalam juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz membuat penampilan sulung di majlis pembangkang. Beliau sebelum ini kerap mengecam kerajaan Najib Razak menerusi media sosial.

Bekas ketua Wanita Umno itu menjelaskan yang beliau tampil bersuara menentang pentadbiran Najib Razak kerana ia sudah “tersasar” daripada pelan asal untuk negara.

“Kontraktor yang kita berikan kontrak untuk Malaysia telah meninggalkan kita.

“Rumah kita, Malaysia kini terdapat banyak pencemaran. Rumah ini sudah musnah. Itu sebabnya saya keluar,” kata Rafidah.

“Masa untuk ubah kontraktor (dengan) undi Pakatan Harapan pada 9 Mei,” laung Rafidah yang disahut sorakan hadirin.

Bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin, sekutu utama Dr Mahathir juga membuat penampilan tetapi tidak turut berucap. Tetapi, dalam program sebelum itu berjanji untuk memulihkan ekonomi Malaysia yang dalam masa 18 bulan selepas PH menakluk Putrajaya.

Pemimpin PH lain yang berucap termasuklah Dr Mahathir, Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah Mohammad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Intipati kandungan ceramah mereka senada; pentadbiran Najib menjatuhkan negara dan perlunya perubahan kerajaan.

Majoriti hadirin yang datang adalah dari kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya yang sebelum ini dikenali sebagai Bukit Katil.

Demografi kerusi itu berubah selepas persempadanan semula menjadikan ia kerusi majoriti Melayu yang menyukarkan penyandangnya, Shamsul Iskandar Md Akin (PH) untuk mempertahankannya.

Lawannya kali ini ialah bekas Ketua Menteri Ali Rustam yang ditewaskan Shamsul pada pilihan raya lepas.

Dalam kajian dilakukan Invoke bulan lepas, ada kemungkinan yang Melaka akan mempunyai Dewan Undangan Negeri tergantung selepas PRU14.

Kajian terbaru Merdeka Centre yang dikeluarkan 3 Mei lalu mendedahkan yang sukar PH menembusi Melaka kerana undi popular BN di negeri itu berada pada kadar 49.9%.

Undi popular PH di Melaka adalah 35.2% dan PAS hanya 14.9%.

Melaka ada enam kerusi Parlimen dan 28 DUN. Pada PRU13, pembangkang berjaya menakluk dua kerusi Parlimen dan enam DUN.

BN pula menang di empat kerusi Parlimen dan 22 kerusi DUN.

Tetapi sambutan luar biasa semalam ditunjukkan rakyat Melaka kepada PH mungkin mengubah kisah 9 Mei bukan hanya di negeri itu tetapi juga di seluruh negara. – 5 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen