Kerajaan teliti undang-undang buli siber, kata timbalan menteri


Ravin Palanisamy

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata buli siber bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2023.

KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital akan melihat cadangan penubuhan akta khas untuk menangani buli siber, kata timbalan menteri Teo Nie Ching hari ini.

Beliau berkata buli siber, terutamanya dalam kalangan remaja, bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, dan bersetuju bahawa undang-undang khusus perlu bagi menangani perkara itu.

“Buli siber khususnya dalam kalangan remaja bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

“Saya terima bahawa satu akta perlu diwujudkan untuk buli siber.

“Saya akan membawa cadangan itu dan berbincang dengan pihak berkepentingan lain dan melihat kementerian mana yang lebih sesuai untuk melaksanakan akta tersebut,” kata ahli Parlimen Kulai di Parlimen hari ini.

Nie Ching menjawab soalan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah-PN), yang meminta menyatakan langkah-langkah diambil untuk mencegah penyalahgunaan media sosial sehingga kes bunuh diri dilaporkan akibat buli siber.

Dalam soalan tambahan, ahli Parlimen PN itu bertanya sama ada akan wujud undang-undang untuk menangani isu buli siber dalam kalangan pelajar.

Sementara itu, Nie Ching berkata, sejak 1 Januari tahun ini sehingga 15 November, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama beberapa platform media sosial telah menurunkan sebanyak 1,147 kandungan berkaitan buli atau gangguan siber.

“Siaran kandungan yang dialih keluar mengikut platform media sosial ialah Tik Tok (804), Facebook (195), YouTube (9), X (7), Instagram (7) dan lain-lain (123),” katanya. – 27 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen