PAKATAN Harapan (PH) membawa “pasukan terhebatnya”, menggandingkan pemimpin utamanya dan bekas pemimpin tertinggi negara dalam usaha untuk menawan Melaka yang merupakan kubu kuat Umno pada PRU14.
Hadirin memenuhi kawasan tempat ceramah sejak lewat petang menantikan kehadiran tokoh-tokoh besar PH dan kemunculan pertama bekas menteri Kabinet, Rafidah Aziz.
Selain itu, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin turut berada di atas pentas walaupun tidak memberikan sebarang ucapan.
Ketika diumumkan kehadiran Rafidah yang pertama kali menyertai program PH, orang ramai bersorak dan menjeritkan laungan “reformasi”.
Dalam ucapannya, Rafidah menerangkan kepada orang ramai, sejak sepuluh tahun lalu, kerajaan yang ada pada hari ini sudah “melencong” daripada matlamat asal dan di atas sebab itu beliau terpaksa bersuara dan membuat kritikan.
Hampir kesemua penceramah mempunyai tema sama, Malaysia di bawah Perdana Menteri Sementara Najib Razak akan terus rosak dan perlu digantikan dengan PH di bawah pimpinan Dr Mahathir pada PRU14.
Majoriti yang hadir pada program diadakan di kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya di negeri kubu kuat Umno itu terdiri daripada orang-orang Melayu, walaupun turut keihatan kaum Cina dan India.
Dalam kajian dilakukan badan pemikir Invoke yang dibentangkan bulan lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berpotensi akan tergantung selepas PRU14.
Bagaimanapun dalam tinjauan terbaru Merdeka Center yang didedahkan pada 3 Mei lalu, PH masih sukar untuk menawan Melaka kerana undi popular BN di negeri itu masih tinggi pada tahap 49.9 peratus.
Sementara undi popular PH di Melaka ialah 35.2 peratus dan PAS pada 14.9 peratus.
Melaka mempunyai enam kerusi Parlimen dan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada PRU13, pembangkang Pakatan Rakyat (PR) memenangi dua kerusi Parlimen dan enam kerusi DUN di Melaka.
Manakala Barisan Nasional (BN) pula memenangi empat kerusi Parlimen dan 22 kerusi DUN.
Abdul Jalil Ramli, 60, yang datang daripada Jasin berkata, beliau teruja apabila mendapat tahu Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad akan datang bersama-sama Daim dan Rafidah ke Melaka.
“Saya nak dengar sendiri apa yang dikatakan Dr Mahathir dan bekas menteri Kabinet Daim dan Rafidah.
“Mereka sudah lama mentadbir negara, sudah pasti mereka tahu kerosakan yang berlaku dalam negara pada hari ini,” katanya. – 4 Mei, 2018.
Komen