Pertembungan legasi Nik Aziz di Kelantan 


The Malaysian Insight

DI satu bulatan yag dinamakan butalan Chempaka do Kota Bharu, dua poster menunjukkan pertembungan legasi pemimpin paling ikonik di Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pertembungan mengenai siapa yang akan mewarisi legasi dan meneruskan perjuangan bekas pemimpin PAS itu kini menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Umum ke 14 dan akan memberi impak sama ada PAS mampu meneruskan pentadbiran di negeri itu atau sebaliknya.

Poster pertama merupakan anak sulung Nik Aziz, Nik Omar yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di bawah Pakatan Harapan.

Guru agama berusia 54 tahun itu akan bertanding dengan calon PAS Fathan Mahmood dan calon BN Mohamad Fareez Noor bagi kerusi yang pernah diwakili bapanya selama tujuh penggal.

Di bawah posternya pula merupakan gambar Nik Aziz menunaikan solat bersama menteri besar PAS Ahmad Yaakob. Poster PAS itu turut memaparkan presiden parti itu Abdul Hadi Awang.

Mesej yang cuba disampaikan pada poster bawah itu adalah jelas - walaupun Nik Omar merupakan anak kepada Nik Aziz, PAS mendakwa parti Islam itulah yang meneruskan legasi dan perjuangan bapanya.

Pencalonan Nik Omar bukan sahaja mencetuskan gelombang di Chempaka. Beliau juga turun ke setiap kerusi di Kelantan juga di luar negeri itu untuk menarik pengundi PAS mengundi PH.

“Kita harap dapat meningkatkan sokongan daripadanya. Beliau akan pergi ke semua kubu kuat PAS. Kawasan yang dimenangi PAS dengan 70% undi popular,” kata ketua Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Suara dan perwatakan Nik Omar dikatakan mirip bapanya, kata Wan Abdul Rahim, yang pernah bekerja dengan Nik Aziz sejak tahun 70an.

Selepas Nik Omar kembali dari berkempen di Shah Alam dan Putrajaya, beliau dijangka akan berkempen ke seluruh Kelantan iaitu di 45 kerusi DUN dan 14 kerusi Parlimen.

Apa yang diharapkan ialah Nik Omar dapat mempengaruhi penyokong PAS untuk mengubah sokongan mereka kepada PH, kata Wan Abdul Rahim. Dengan menggabungkan undi ini dengan pengundi atas pagar dan kemarahan penyokong Umno berhubung isu ekonomi, PH berharap akan mendapat sokongan yang cukup bagi memenangi pertandingan tiga penjuru ini.

Di Kampung Sabak Kemerut di Chempaka, pemilik gerai makanan Saifuddin Hamzah berkata, Nik Omar telah mengubah wacana pilihan raya di kampungnya.

“Golongan muda telah bercakap mengenai PAS dan BN. Kini dengan Nik Omar, mereka bercakap mengenai PH,” katanya.

Seorang lagi penduduk kampung, Hashim Muhammad mendakwa idea Nik Omar berhubung politik Islam dan agama adalah sama dengan bapanya.

“Nik Aziz percaya dengan pembentukan pakatan dan menyatukan semua walaupun berpandangan berbeza,” kata Hashim yang merupakan aktivis PAS selama 37 tahun sebelum menyertai Amanah.

“Ini merupakan sesuatu yang kepimpinan PAS kini abaikan. Tetapi ia adalah sesuatu yang dipercayai oleh Nik Omar.”

Penyokong PAS seperti Rosli Yusof di Chempaka bagaimanapun tidak mudah dipengaruhi.

“Rakyat di Chempaka akan memilih parti berbanding individu. Nik Omar tidak meneruskan perjuangan bapanya. Beliau hanya menggunakan nama bapanya. Kita yang masih dalam PAS perlu meneruskan perjuangan tok guru.”

Namun Rosli mengakui penyokong PAS lain mudah terpengaruh.

“Kita tak boleh katakan Nik Omar tidak akan pengaruhi sesiapa. Tetapi kami rasa daripada 100 penyokong PAS, beliau mungkin hanya berjaya yakinkan 20 orang.”– 5 Mei, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen