Pelancong negara Arab, China, India dikecuali visa ke Malaysia, kata PM


Ravin Palanisamy

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata pengecualian ini tertakluk kepada pemeriksaan keselamatan sebagai saringan awal untuk semua pelancong atau pelawat ke Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 November, 2023.

PELANCONG dari Asia Barat, China dan India akan dikecualikan visa ke Malaysia mulai 1 Disember, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Tahun depan akan menjadi tahun ke-50 hubungan diplomatik China dan Malaysia.

“Untuk meraikan perkongsian strategik ini dengan China, bermula 1 Disember… tambahan pula dengan beberapa negara Arab termasuk Turkiye dan Jordan, China dan India… akan dikecualikan visa (ke Malaysia) selama 30 hari.

“Pengecualian ini tertakluk kepada pemeriksaan keselamatan sebagai saringan awal untuk semua pelancong atau pelawat ke Malaysia,” kata presiden PKR itu hari ini.

Anwar berkata selain Turkiye dan Jordan, negara Arab lain termasuk Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Iran dan Iraq.

Pada 24 November, Kedutaan China mengumumkan dasar pengecualian visa untuk tempoh 15 hari kepada rakyat Malaysia, yang akan berkuat kuasa selama setahun bermula 1 Disember 2023 hingga 30 November 2024.

Sementara itu, Anwar juga akan bertemu Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin esok.

“Saya akan menuju ke sempadan Sadao (Thailand) dan Bukit Kayu Hitam bersama Perdana Menteri Thailand.

“Kami mengambil pendekatan ini untuk memastikan perjalanan dua hala adalah baik, cekap dan akan menggalakkan lebih banyak perjalanan dua hala (antara Thailand dan Malaysia),” katanya.

“Saya akan meneruskan perbincangan dengan beliau. Hubungan dua hala ini secara langsung akan memberi manfaat kepada Malaysia dan Thailand,” tambahnya.

Mengenai Singapura, Anwar berkata hubungan kedua-dua negara jiran itu semakin kukuh sekarang.

Beliau berkata komitmen dua hala adalah kunci untuk menyelesaikan sebarang isu bagi memastikan terdapat penyelesaian menang-menang bagi kedua-dua negara.

Beliau berkata zon ekonomi khas di Johor juga akan memastikan kerjasama yang lebih kukuh dengan Singapura. – 26 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen