Polis jejak penolong pegawai J-Kom selepas gagal dihubungi


Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman juga menggunakan pelbagai kaedah untuk mengesan Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2023.

POLIS sedang menjejak Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani bagi membantu siasatan berhubung video jelik yang tular di media sosial.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, Wahab masih belum tampil kepada pihak polis.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman juga menggunakan pelbagai kaedah untuk mengesannya.

“Meskipun sudah dipanggil untuk membantu siasatan, Wahab masih belum tampil untuk membantu polis berhubung siasatan kes berkenaan.

“Kita menggunakan pelbagai cara termasuk menghubunginya namun telefon bimbit miliknya dimatikan,”  katanya kepada Berita Harian hari ini.

Wahab terlibat dengan dakwaan video jelik yang turut memaparkan bekas ketua pengarah J-Kom Agus Yusoff.

Razarudin berkata pihaknya juga cuba mengesan Wahab melalui peguamnya tetapi menemui jalan buntu selepas dia tidak menjawab panggilan.

“Justeru saya meminta kepada Wahab untuk segera tampil untuk proses rakaman percakapan bagi membantu siasatan sekali gus menyelesaikan kes berkenaan dalam kadar segera.

“Maklumat dan keterangan daripada Wahab amat penting sekali gus dapat mengesahkan peranan Mr H dalam kes berkenaan,” katanya.

Razarudin berkata polis masih berusaha untuk mengenal pasti individu yang dikenali sebagai “Mr H”, yang dilaporkan memujuk Wahab untuk merakam perbualannya dengan Agus.

Klip video perbualan yang dikatakan antara Agus dan Wahab menjadi tular minggu lalu.

Agus dalam sidang media pada Jumaat lalu berkata video itu disunting dan beliau sudah melaporkan perkara itu kepada polis. – 26 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen