Nik Nazmi yakin PKR boleh menang di Kelantan, Terengganu


Ravin Palanisamy

Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yakin parti itu boleh merampas Kelantan dan Terengganu pada masa hadapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2023.

NAIB Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berharap parti itu akan menewaskan PAS di kubu kuat mereka di negeri pantai timur pada masa hadapan.

Beliau, bagaimanapun, mengakui ia bukan perkara mudah dan menggesa ahli parti berfikiran jauh kerana kemenangan itu boleh dicapai dengan usaha dan kerja keras.

“Kita tentu sekali kecewa dengan keputusan pilihan raya negeri terbaru di Kelantan dan Terengganu,” kata menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim itu. 

“Saya menggesa kita untuk berfikir jangka masa panjang. Ya, kita belum menang di sana tetapi saya harap tiada ahli parti dari Kuala Lumpur, Putrajaya, atau mana-mana memandang rendah orang di sana.

“Itulah caranya kita pernah buat di Selangor, Sabah dan Sarawak dulu dan saya beri jaminan yang kita boleh menang di Kelantan dan Terengganu satu hari nanti jika kita kuatkan usaha dan kekal yakin,” tambahnya. 

Nik Nazmi turut mengakui yang bukan kerja mudah untuk menumbangkan PAS di negeri tersebut tetapi yakin mereka boleh mencipta kejutan pada masa hadapan.

“Ia bukan mudah dan saya tak akan berpura-pura. Tetapi kita boleh cipta kejutan jika kita ada komitmen dan keyakinan.”

Pilihan raya enam negeri yang diadakan pada Ogos lalu berakhir dengan pengekalan status quo apabila Perikatan Nasional (PN) yang diterajui PAS, Bersatu dan Gerakan terus berkuasa di Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Malah, PAS menang semua kerusi di Terengganu, mewujudkan dewan undangan negeri (DUN) tanpa wakil pembangkang.

Pakatan Harapan yang bekerjasama dengan Barisan Nasional buat kali pertama selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pula kekal berkuasa di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Gabungan Perpaduan itu berjaya menang dua pertiga kerusi DUN di Negeri Sembilan tetapi hilang majoriti besar di Selangor buat pertama kali dalam tempoh 15 tahun. – 26 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen