TIGA paraglider akan terbang merentasi ruang udara Teluk Intan dengan membawa bendera PKR untuk berkempen kepada Pakatan Harapan dua hari lagi.
Pasukan yang dibiayai sendiri itu yang menggelarkan diri mereka “PH Airforce”, berkata mereka telah menerima kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa.
“Kami bermula di Batu Pahat pada hari penamaan calon, kemudian ke Labis dan akan ke Bentong dan Raub selepas ini,” kata salah seorang pengendali paraglider C.K. Goh yang juga pengundi di Kelantan.
Mereka berharap keseronokan yang tercetus daripada aksi mereka akan menggalakkan rakyat untuk keluar mengundi pada 9 Mei, terutamanya pengundi luar di kerusi marginal.
Pimpinan PH sebelum ini berkata pakatan itu memerlukan sekurang-kurangnya 85% jumlah keluar mengundi untuk memenangi pilihan raya umum kali ini.
Ahli pasukan Goh, Alan Ho dan Onn Isatin berkata, mereka menerima maklum balas yang menggalakkan daripada pengundi di Batu Pahat dan Labis.
Kerusi Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara presiden Gerakan yang juga penyandang kerusi berkenaan Mah Siew Keong, ketua DAP Perak Nga Kor Ming dan calon PAS Dr Ahmad Ramadan.
Nga memberitahu pengundi tempatan beliau menjangkakan pertandingan sengit dengan Mah.
Kira-kira dua daripada lima pengundi daripada 66,487 pengundi di Teluk Intan adalah berusia di bawah 40 tahun, kebanyakan mereka bekerja di luar.
Sebelum ini ia merupakan antara kubu kuat BN sebelum jatuh kepada Pakatan Rakyat pada 2008 dan 2013.
Mah merampas kembali kerusi itu untuk BN dengan 238 undi pada pilihan raya kecil 2014. – 4 Mei, 2018.
Komen