Tangkap individu bangkit isu 3R, kata perwakilan


Diyana Ibrahim Ravin Palanisamy

Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap kumpulan pelampau yang memainkan isu 3R, desak perwakilan PKR. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 November, 2023.

KERAJAAN harus mengambil tindakan tegas dengan menyiasat, menangkap, dan mendakwa kumpulan pelampau politik yang terus berdegil memainkan sentiman agama dan kaum, kata perwakilan Pemuda PKR, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Beliau berkata cadangan itu dibangkitkan untuk memastikan kerajaan Madani dapat meneruskan usaha untuk menjaga keharmonian negara daripada terus dicemari sentimen ektremis agama dan kaum.

“Muncul beberapa watak orang politik yang (me)nyalakan api permusuhan kaum dan agama. Kita adalah saksi bagaimana sebahagian besar kelompok muda yang galau pemikiran terbelenggu dan terpukau dengan pandangan agama dan kaum sempit yang dimainkan.

“Lantas Madani hadir (bagi) isi kelompongan untuk pulih kerangka, bukan sahaja pentadbiran tapi pemikiran masyarakat. Penting pimpinan letak kerangka asas dengan beri penekanan terhadap sistem nilai fabrik sosial di negara kita supaya tidak diganggu gugat mana-mana pihak.

“Jika degil mereka ini terus mencabar (memainkan isu 3R), saya cadang kepada menteri untuk ambil tindakan tegas tangkap siasat dan dakwa mereka ini,” katanya semasa sesi perbahasan Kongres PKR di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Julai lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada kumpulan pelampau yang sengaja memainkan isu agama, raja dan kaum (3R).

Beliau turut menekankan yang tiada pihak terkecuali daripada tindakan undang-undang jika terus memainkan isu tersebut. – 26 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen