PENEROKA Felda perlu menentukan nasib negara dan menggunakan undi mereka untuk selamatkan negara, kata Muhyiddin kepada peneroka Felda di Pagoh malam ini.
“Kita hidup pada mas ayang luar biasa sekarang yang mana pemimpin kita menjadi punca masalah hari ini,” kata penyandang kerusi Pagoh yang kini bertanding untuk penggal ke lapan.
Muhyiddin berkata, Malaysia belum pernah ada “penyamun” sebagai perdana menteri.
“Kita ada Tunku Abdul Rahman, yang kemudiannya disambung oleh Abdul Razak yang membangunkan Felda. Beliau kemudian digantikan oleh Hussein Onn dan Dr Mahathir Mohamad tetapi tiada seorang pun daripada mereka yang berdepan dengan tuduhan sebegitu,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.
Menurut beliau, Malaysia belum pernah berdepan situasi yang mana perdana menteri dituduh mencuri daripada negara.
“1MDB telah mencatatkan RM42 bilion hutang dan wang itu telah lesap kepada Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor, Jho Low dan anak tirinya Riza Aziz.
“Jadi terpulang kepada kamu untuk memastikan Pakatan Harapan menang bagi membolehkan kita menghumban pencuri ini ke penjara,” tambahnya ketika berucap di Felda Sri Ledang.
Muhyiddin turut mengingatkan peneroka agar tidak menerima wang daripada Umno untuk menutup pusat mengundi.
“Jika kamu buat, akhirnya nanti kamu yang rugi,” tambahnya.
Presiden Bersatu itu turut mengingatkan peneroka dengan janji Pakatan untuk menghapuskan hutang mereka dengan Felda sekiranya Pakatan memenangi Putrajaya. – 4 Mei, 2018.
Komen