PEMERHATI Pilihan raya Bersih 2.0 menyenaraikan 10 individu yang didakwa mereka sebagai pesalah utama dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), berdasarkan peristiwa yang berlaku dari 27 April sehingga 4 Mei dan dipilih daripada lebih 400 laporan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Mohd Hashim Abdullah menduduki carta tertinggi kerana didakwa gagal mendukung hak asasi Perlembagaan calon yang bertanding dalam pilihan raya kali ini.
Jawatankuasa itu memberi contoh antaranya tindakan SPR yang menyebabkan penyandang Parlimen Batu Tian Chua hilang kelayakan bertanding, dan menghalang calon PKR Dr S. Streram daripada menghantar borang pencalonan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
“Sekali lagi, Pengerusi SPR Mohd Hashim Abdullah, dinobatkan Anugerah Malu 5-bintang untuk kali kedua berturut-turut kerana gagal mengatasi dan memperbetulkan tindakan penyalahgunaan kuasa oleh pegawainya pada hari penamaan calon, termasuk secara tidak adil menyebabkan Tian Chua hilang kelayakan bertanding dan menghalang Dr Streram daripada memfailkan pencolonannya.”
“Polis menghalang Dr Streram atas alasan tidak ada pas masuk yang dikeluarkan SPR sekaligus memberikan calon BN Mohamad Hasan - yang juga merupakan menteri besar sementara Negeri Sembilan - kemenangan tanpa bertanding,” kata Bersih dalam kenyataan.
Nama lain yang turut tersenarai adalah perdana menteri sementara Najib Razak, pemimpin BN Md Jamal Yunos, Pengarah RELA Kedah Ahmad Abdul Wahab, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), agen tempat mengundi dari PAS dan BN di Tapah, Majlis Belia Malaysia (MBM), pemimpin BN Ramlee Marhaban dan Chan Quin Er dan akhir sekali kempen ‘gula-gula’ BN diseluruh negara.
“Bersih 2.0 mengutuk SPR dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilihat kurang bertindak terhadap percubaan gabungan pemerintah, Barisan Nasional yang diketuai Umno untuk menipu dalam PRU14.
“Kedua-dua suruhanjaya iaitu SPR dan SPR harus menjelaskan kepada rakyat dan pengundi di Malaysia di atas kegagalan berulang mereka untuk mendukung kedaulatan undang-undang di negara ini, iaitu Perlembagaan Persekutuan.”
Kumpualan itu turut memberi amaran kepada semua parti politik dan calon mereka untuk menghentikan strategi kempen negatif seperti membeli undi, yang dianggap sebagai kesalahan jenayah.
“Bersih 2.0 juga mendesak semua parti politik, calon yang bertanding, organisasi sivil dan pengundi agar menolak sebarang bentuk rasuah dan ‘gula-gula’ pilihan raya termasuk pemberian wang tunai dan hadian cabutan bertuah,” kata kenyataan itu.
Kumpulan itu berkata parti yang terlibat bertanggungjawab untuk memastikan pilihan raya ini mewakli suara pilihan dan bukan disebabkan oleh persempadanan semula, rasuah, penggunaan kuasa sewenang-wenangnya. – 4 Mei, 2018.
Komen