EKONOMI Malaysia boleh dipulihkan 18 bulan selepas Pakatan Harapan (PH) menang pada PRU14, kata bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin.
Daim berkata, apa yang paling penting, keadaan kewangan negara perlu disemak terlebih dahulu untuk mengetahui masalah sebenar dihadapi Malaysia.
“Mungkin kita perlukan 18 bulan untuk pulihkan ekonomi negara,” kata pemimpin veteran itu kepada Malaysia Decides apabila ditemui pada sebuah program di Bukit Katil, Melaka.
“Mungkin kita perlu dua minggu, sebulan untuk faham masalah dan lepas faham masalah baru boleh selesaikan dan buat dasar baru.”
Daim merupakan menteri kewangan negara selama dua kali sepanjang zaman pemerintahan Dr Mahathir Mohamad dari 1981 hingga 2003.
Daim berkata, selepas PH menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), rakyat boleh berbelanja dengan lebih banyak dan ini akan menjana kembali ekonomi negara.
“Ekonomi negara memang teruk, hutang banyak dan rakyat menderita. Sebab itu kerajaan PH akan hapuskan GST.
“Kerajaan PH mesti mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat, jika keadaan ekonomi negara baik, tak perlu lagi beri Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” katanya.
Daim berkata, masa diperlukan untuk kerajaan PH memulihkan ekonomi negara dengan sepenuhnya.
“Antara dasar PH yang baik ialah perdana menteri tidak boleh menjadi menteri kewangan,” katanya.
“Insya Allah ekonomi negara akan pulih sekiranya PH menang, kita akan tambahkan kembali rizab (kewangan) negara.” – 4 Mei, 2018.
Komen