Halangan jauhkan belia daripada bertani, kata pemain industri


Angie Tan

Pemain industri berkata halangan menyebabkan golongan muda yang meminati sektor pertanian enggan bercucuk tanam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2023.

GOLONGAN muda meminati sektor pertanian tetapi pelbagai halangan menyebabkan mereka enggan bercucuk tanam, menurut pemain dalam sektor pertanian.

Mereka berkata demikian sebagai menjawab dakwaan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Chan Foong Hin golongan muda tidak berminat untuk bekerja dalam sektor itu.

Foong berkata sikap tidak berminat itu menjadi punca sektor itu terpaksa menggunakan tenaga kerja asing untuk kekal bersaing.

Orang muda yang ingin menjadi petani mempunyai banyak halangan untuk diatasi, kata Alvin Lo, timbalan pengerusi Persatuan Peladang Buah-buahan Malaysia kepada The Malaysian Insight.

Pertama sekali, kekurangan tanah yang sesuai untuk pertanian, katanya.

Lo menegaskan satu masalah yang dihadapi oleh bakal petani ketika ini adalah sesetengah pemilik tanah mempunyai keutamaan untuk memajakkan tanah mereka kepada warga asing.

Beliau berkata ia adalah perkara yang perlu diteliti oleh kerajaan.

“Seterusnya dia perlukan modal yang banyak.”

Lo berkata jumlah itu mungkin agak ketara sekali gus menjadikan seseorang yang baru dan muda untuk menjadi pemilik ladang berdepan halangan.

“Jika mereka belum mempunyai tanah, mereka perlu membeli satu dan kosnya mungkin agak besar.

“Mungkin, ia tidak begitu tinggi jika mereka boleh memperoleh tanah kerajaan untuk diusahakan. Kemudian modal diperlukan untuk membeli peralatan ladang yang merupakan satu lagi pelaburan kewangan yang besar.

“Jadi tidak betul jika anda kata orang muda tidak berminat untuk bekerja dalam bidang pertanian,” katanya.

Lo berkata ketidakstabilan harga produk pertanian turut mempengaruhi keputusan golongan muda untuk menceburi sektor itu.

“Pendapatan mereka juga tidak stabil, menyebabkan ramai orang tidak berminat untuk menceburi bidang pertanian.”

Lo, yang juga pengerusi Persatuan Peladang Buah-buahan Johor, berkata melainkan anak muda itu mempunyai tanah sendiri atau terus mengusahakan tanah pusaka, adalah amat mencabar untuk menarik golongan muda ke dalam sektor itu.

Beliau menyatakan perladangan durian sebagai contoh utama mengapa golongan muda amat berminat untuk bertani.

“Dengan penanaman durian yang semakin menguntungkan, ramai petani generasi kedua pulang ke luar bandar untuk menanam buah itu.”

Lim Ser Kwee, presiden Persekutuan Persatuan Peladang Sayuran, bersetuju dengan Lo.

“Apabila tidak ada tanah untuk bercucuk tanam, ramai terutamanya petani yang lebih tua, akan mengusahakan apa sahaja tanah yang mereka dapati secara haram.

“Dalam situasi sebegini, bagaimana anak muda sanggup mengikut jejak ibu bapa dan terus bercucuk tanam di tanah haram?

“Tiada masa depan sebegitu. Jika mereka mempunyai tanah sendiri, ia satu cerita berbeza.” – 26 November, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen